Sudah sampai masa rombak Kabinet, buang anggota berprestasi rendah

(Gambar Bernama)

Datuk A Kadir Jasin melalui blognya mengeluarkan satu kenyataan mengenai rasa tidak puas hati Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap prestasi anggota Kabinet. Jika dilihat kekecewaan atau rasa tidak puas hati perdana menteri antaranya berpunca daripada isu yang timbul selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Antara isu panas yang menjadi duri dalam daging Kabinet adalah kegagalan menunaikan janji, isu berkaitan agama dan perkauman. Malah, lebih memalukan apabila kelayakan akademik segelintir anggota Kabinet dipertikaikan.

Jika integriti anggota Kabinet tercalar, bagaimana rakyat memandang tinggi dan menyokong setiap tindakan mereka?

Sedangkan Dr Mahathir yang melantik mereka sudah kecewa dan tidak berpuas hati dengan tahap pencapaian mereka, apatah lagi rakyat yang pastinya lebih kecewa dan marah.

Sepatutnya, rakyat menjadi keutamaan pucuk kepimpinan hari ini, tetapi realitinya, mereka hanya menjadi tikus makmal kepada agenda kerajaan PH.

Jadi, tidak hairan Dr Mahathir membuat keputusan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi. Langkah ini membuktikan prestasi anggota Kabinet hari ini berada di tahap terendah. Mereka hanya pandai bercakap daripada membuat kerja dan hasilnya seperti tin kosong.

Kesudahannya, perdana menteri terpaksa melantik tokoh ekonomi lain untuk menguruskan hal ehwal kewangan dan ekonomi negara.

Apa tidaknya, hampir 9 bulan mentadbir negara, tetapi tiada perubahan yang dapat dilihat rakyat selepas mereka beria-ia berjanji menurunkan harga minyak dan barang.

Malangnya, apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan, rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jadi, persoalannya dalam tempoh hampir 9 bulan ini, apa yang dilakukan menteri dan timbalan menteri? Adakah mereka masih mahu menggunakan skrip sama, iaitu kerajaan terbeban dengan hutang?

Sudah-sudahlah mempermainkan emosi rakyat, rasanya inilah masa tepat dan sesuai untuk merombak Kabinet. Sekarang, negara memerlukan anggota Kabinet yang boleh menyelesaikan masalah rakyat, bukannya pandai bercakap sahaja.

Jadi, sebaiknya buang atau pecat anggota Kabinet yang jelas tidak berfungsi, sebelum rakyat sendiri menukar kerajaan. Sampai bila perdana menteri dan kerajaan mahu menyimpan menteri yang secara terang-terangan menimbulkan banyak masalah?

Sepatutnya, sebagai menteri, mereka bertanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat, bukannya menambahkan lagi masalah rakyat. Apa gunanya cukup bulan ambil gaji, tetapi hasil kerja tidak setimpal dan rakyat pula hidup dalam kesempitan.

Ingatlah, mereka dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat dan memberi kesenangan kepada rakyat, bukannya semakin membebankan rakyat dari hari ke hari. Ketahuilah, rakyat tidak mahu hidup susah lagi!

Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.