‘Tanah runtuh akibat kontraktor bina platform tambakan tak rujuk pakar’

Sembilan pekerja asing maut, 4 cedera dan seorang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 19 Oktober 2018. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Kegagalan kontraktor merujuk pakar kejuruteraan sebelum membina sebuah platform tambakan menjadi punca tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, Oktober lepas.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bukit Kukus, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, hasil siasatan jawatankuasa mendapati runtuhan itu berlaku di kawasan kerja sementara dan tidak melibatkan kawasan kerja kekal projek berkenaan.

“Mereka bina platform supaya boleh letak jentera untuk membantu mereka mengangkat rasuk di bahagian atas tiang. Kami dapati kontraktor membina platform tambakan itu tanpa membuat pengiraan kejuruteraan dan tidak mengemukakan cadangan kaedah kerja kepada konsultan ataupun jurutera tempatan.

“Kemungkinan amalan terbaik pembinaan tidak diikuti. Ujian pemadatan juga tidak dibuat seperti biasa dilakukan dalam amalan pembinaan terbaik. Perkara ini disokong pihak konsultan yang mengawasi projek ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 19 Oktober lalu meragut nyawa 9 pekerja asing dan mencederakan 4 lagi, manakala seorang masih hilang.

Projek jalan berkembar itu bertujuan menjadi jalan penghubung antara Paya Terubong dan Relau, dekat sini dan dijangka dapat disiapkan menjelang Mei 2020.

Zakiyuddin berkata, hujan lebat pada hari kejadian turut menyumbang kepada insiden itu, apabila air di dalam parit tidak dialirkan dengan sempurna dan meresap ke dalam tanah timbunan menyebabkan cerun tidak stabil.

Jawatankuasa itu turut mengenal pasti 7 faktor lain menyebabkan berlakunya insiden itu, termasuk proses pembinaan tidak selamat, kekurangan pengawasan, pemeriksaan komprehensif dan pengurusan sub kontraktor yang lemah.

Katanya, kerajaan negeri sudah menyenaraihitamkan kontraktor projek, Yuta Maju Sdn Bhd, jurutera perunding GEA (M) Sdn Bhd (konsultan) dan penyemak bebas, G&P Professional Sdn Bhd yang turut bertanggungjawab dalam projek itu.

“Walaupun ketiga-tiga syarikat tetap diarahkan MBPP untuk menyiapkan baki 25% projek berkenaan, mereka tidak akan dibenarkan terlibat lagi dalam tender-tender dikeluarkan kerajaan negeri di masa depan.”