Teka-teki pemanggil ‘misteri’ MH370 terjawab

Zulhaimi Wahidin cuba menghubungi Zaharie 3 kali selepas terdengar berita pesawat hilang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Lelaki yang membuat panggilan “misteri” selama 45 minit kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah beberapa minggu selepas pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang, dan menimbulkan teori konspirasi, adalah sepupunya.

Bercakap buat kali pertama, Zulhaimi Wahidin, seorang jurutera kapal terbang memberitahu akhbar The Australian ia adalah panggilan biasa sahaja.

Menurutnya, beliau cuba menghubungi Zaharie 3 kali selepas terdengar berita pesawat hilang.

Beliau menolak dakwaan teori konspirasi mendakwa Zaharie merampas pesawat yang dibawanya dan yang kemudian terhempas.

“Mereka cuba menyalahkan beliau tentang apa yang berlaku. Sangat berat untuk saya menelan dakwaan itu kerana beliau bukan jenis itu,” katanya.

Kehilangan Boeing 777 yang membawa 238 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terus menjadi misteri dan menimbulkan perbagai teori.

Zulhaimi, 53, ketika itu berkhidmat dengan Malaysia Airlines, tetapi kini dengan syarikat penerbangan lain, memberitahu The Australian beliau sangat rapat dengan Zaharie dan mereka sering bertemu atau berbual melalui telefon.

Katanya, beliau adalah sepupu Zaharie dan mereka pergi ke sekolah bersama dan menganggap Zaharie seperti ahli keluarga sendiri.

Katanya beliau menyertai Malaysia Airlines tidak lama selepas Zaharie menyertai syarikat tersebut dan itu merapatkan lagi hubungan mereka.

Zulhaimi nafi beliau membuat panggilan kepada Zaharie pada 2 Februari 2014, beberapa minggu sebelum pesawat hilang, untuk memberikan perincian teknikal bagi membantunya merampas kapal terbang tersebut, seperti yang didakwa teori konspirasi.

Pihak yang membuat teori tersebut mendakwa Zaharie di belakang kehilangan MH370 itu berdasarkan cara pesawat itu menukar haluan, menggagalkan sistem komunikasi pesawat, panggilan “misteri” yang diterimanya beberapa minggu sebelum kejadian dan 3 lagi panggilan kepada Zaharie selepas kapal terbang itu hilang.

Dalam temu ramah eksklusifnya dengan The Australia, Zulhaimi mendedahkan beliaulah yang cuba 3 kali membuat panggilan tersebut kerana tidak percaya pesawat hilang.

Zulhaimi berkata, Zaharie, seorang juruterbang yang berpengalaman, bukan jenis orang yang akan membahayakan dirinya dan 238 penumpang lain.

Katanya, polis Malaysia telah menyoalnya 3 atau 4 kali di rumahnya dan di ibu pejabat polis susulan kehilangan pesawat tersebut kerana mereka syak beliau memberi nasihat teknikal kepada Zaharie untuk merampas pesawat.

“Saya di ibu pejabat polis selama 3 hari. Dari pagi sampai petang. Saya beritahu mereka Zaharie orang pintar. Dia tidak perlukan saya untuk mendapatkan maklumat itu,” demikian Zulhaimi disebut sebagai berkata.

Menegaskan Zaharia tidak bersalah, Zulhaimi berkata: “Beliau seorang yang ceria. Beliau ada banyak wang. Beliau menikmati hidupnya. Mengapa beliau mahu bunuh diri tanpa sebab? Beliau ada keluarga yang baik dan kehidupan yang baik, anak-anaknya berjaya. Saya tak fikir orang akan bunuh diri tidak pasal-pasal,” katanya.

MH370 hilang dari skrin kawalan trafik udara kira-kira 40 minit berlepas apabila radar transponder sekunder dimatikan, dan sebaik sahaja Zaharie buat siaran terakhir radio, mengucapkan “Good night. Malaysian Three-Seven-Zero”.

Radar utama tentera dan “handshakes” satelit automatik kemudian menunjukkan MH370 terbang kembali ke Malaysia, kemudian ke utara Selat Melaka, sebelum bergerak ke arah selatan Lautan India.

Pesawat itu masih belum ditemui walaupun selepas 2 pencarian besar-besaran.