Umno sudah hantar writ saman kepada wakil rakyat baru PPBM

PETALING JAYA: Umno mengotakan kata-katanya akan bertindak terhadap bekas ahli-ahli Parlimennya dan sudah menghantar writ saman kepada wakil-wakil rakyat baru PPBM.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan perkara itu dengan FMT hari ini tetapi enggan menamakan penerimanya.

“Kita sudah keluarkan saman kepada sebahagian daripada mereka, tapi saya tak boleh beritahu nama,” katanya ringkas.

Umno sebelum ini memberi amaran ia akan bertindak terhadap wakil-wakil rakyat yang keluar parti dan menjadi ahli politik bebas, selepas parti itu mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya pada pilihan raya umum lepas.

Difahamkan Umno mahu menuntut bayaran balik kos pilihan raya dan mereka perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket Barisan Nasional pada PRU-14.

Semalam, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad meraikan kemasukan 7 bekas ahli Parlimen Umno ke partinya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah).

Mereka memohon menyertai PPBM pada Disember lalu.

Sementara itu, Mohamad dalam satu kenyataan berkata pemergian bekas-bekas pemimpin itu tidak merencatkan Umno dan mengucapkan selamat maju jaya kepada perjalanan politik mereka bersama PPBM.

“Umno dan saya hanya ingin sekali lagi merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam Umno sebelum ini,” katanya.

Parti itu sekarang ini dilihat mendapat momentum menerusi kerjasama dengan parti Islam terbesar tanahair, PAS.