Badan bertindak kuil Seafield mahu inkues Adib digantung

Badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dan penganut berkata rayuan mereka akan jadi sia-sia jika inkues kematian Adib diteruskan.

PETALING JAYA: Badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya memfailkan permohonan meminta inkues menentukan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang berjalan ketika ini digantung.

Peguam M Visvanathan berkata pasukan petugas mahu inkuiri ditangguh sementara menunggu selesai rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk terbabit dalam inkues itu.

“Kami memfailkan permohonan gantung di Mahkamah Rayuan semalam dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara dan para peguam yang mewakili pihak-pihak terlibat,” katanya.

Visvanathan berkata permohonan itu diserahkan bersama sijil perakuan cemas.

Beliau berkata rayuan anak guamnya akan jadi sia-sia jika inkues diteruskan.

Setakat ini, 6 daripada 30 saksi sudah memberi keterangan.

Pada 8 Februari lepas, Hakim Abd Karim Abd Rahman ketika menolak permohonan badan bertindak dan penganut yang mahu terbabit dalam inkues itu berkata pemohon “tiada neksus” dengan insiden itu untuk menjadi pihak berkepentingan.

Pada 31 Januari lepas, Koroner Rofiah Mohamad di Mahkamah Koroner menolak permohonan mereka, mengatakan tiada “kepentingan yang nyata, substantif dan munasabah” untuk menjadikan merkea pihak berkepentingan.

Majlis Peguam, keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bomba dibenarkan untuk membantu inkues itu.

Adib, 24, cedera parah dalam keganasan di kuil di USJ 25 itu pada 27 November. Beliau sebahagian daripada pasukan daripada balai bomba Subang Jaya.

Dia meninggal dunia di Institut Jantung Negara 3 minggu kemudian.