BN pilih ahli biasa Umno bagi PRK Semenyih

Zakaria Hanafi pernah menjadi AJK Umno Bahagian Hulu Langat.

SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) memilih ahli biasa Umno, Zakaria Hanafi sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, bulan depan.

Zakaria, 58, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pernah menjadi penolong pegawai tadbir UKM dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Hulu Langat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika membuat pengumuman itu berkata, Umno Bahagian Hulu Langat menyerahkan 6 nama.

“BN menamakan calon tempatan kerana kami tidak mahu calon payung terjun atau orang luar untuk beri saingan pada PRK ini,” katanya di bilik gerakan BN yang turut dihadiri parti komponen BN dan PAS.

“Selepas penilaian dan pertimbangan, kami memilih Zakaria yang diharap dapat membawa suara rakyat ke DUN Selangor.

“Saya ingin berterima kasih kepada parti komponen BN yang memberi mandat kepada Umno untuk bertanding di kerusi ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada PAS yang memberi laluan kepada BN.”

Mohamad berkata, kriteria berbeza digunakan untuk memilih calon kerusi Parlimen dan DUN.

Katanya, calon kerusi Parlimen perlu mempunyai kepakaran, mewakili kumpulan masyarakat tertentu, mampu berbahas dan menggubal undang-undang.

“Calon bagi DUN tak memerlukan sijil berjela-jela, tetapi orang yang sentiasa boleh bersama rakyat.

“Mereka perlu pergi ke kenduri perkahwinan. Mereka perlu melawat rakyat sakit dan harus mampu menyelesaikan masalah rakyat.”

Beliau menyeru semua ahli parti komponen BN tidak memandang ringan lawan, sebaliknya mereka perlu bekerjasama bagi memastikan jentera pilihan raya turun padan menemui pengundi.

“Dengan kerjasama bersama PAS, kami berjaya mempertahankan Cameron Highlands, tetapi ujian sebenar ialah di Semenyih.”

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Bakhtiar daripada PPBM menewaskan calon BN, PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pertandingan 4 penjuru, dengan majoriti 8,964 undi. Beliau mendapat 23,428 undi.

Hari penamaan calon pada Sabtu ini dan hari mengundi ditetapkan 2 Mac nanti.

Semalam, PSM mengumumkan Nik Aziz Afiq Abdul, 25, untuk PRK Semenyih.

Kuan Chee Heng yang juga dikenali sebagai “Uncle Kentang” atau “10 sen man” pula mengumumkan hasrat bertanding atas tiket bebas.