BNM: Ekonomi berkembang 4.7% pada 2018

Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7% bagi suku terakhir 2018, membawa angka pertumbuhan keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.7% bagi tahun 2018, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu pertumbuhan, sementara peningkatan eksport barangan dan perkhidmatan menyumbang kepada pertumbuhan positif eksport bersih.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, sektor utama berkembang dalam suku berkenaan.

“Sektor perkhidmatan disokong oleh kekuatan berterusan perbelanjaan konsumer, terutamanya dalam segmen runcit. Pertumbuhan dalam sektor pembuatan kekal dipacu oleh subsektor elektronik dan elektrik (E&E) serta kluster berkaitan konsumer,” katanya dalam pembentangan laporan bank pusat itu hari ini.

Sektor berkait komoditi terus pulih daripada gangguan pengeluaran yang dialami sejak suku kedua, dengan pertumbuhan lebih tinggi dalam sektor perlombongan dan pertanian.

Inflasi keseluruhan berkurang kepada 0.3% (suku ke-3 2018: 0.5%) apabila inflasi pengangkutan berubah kepada negatif.

Kesan keseluruhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar dan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terus mendorong penurunan kadar inflasi umum dalam suku berkenaan.

Shamsiah berkata, memandang ke depan, ekonomi Malaysia dijangka berada di atas jajaran pertumbuhan berterusan.

Sektor tersebut dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan dalam suasana rasionalisasi kewangan sedang berjalan dan sektor luaran dijangka lemah berikutan permintaan global yang sederhana.

Beliau berkata, inflasi umum dijangka meningkat sedikit.

Kesan cukai penggunaan ke atas kadar inflasi umum akan mula berkurang menjelang hujung tahun.

Shamsiah juga berkata, aras lebihan akaun semasa yang sihat pada AS$10.8 bilion dan lebihan kecairan sektor perbankan menunjukkan ekonomi tidak berdepan risiko kemelesetan.