Guan Eng: Lawatan polis ke Turki tajaan syarikat judi diluluskan zaman BN

Gambar yang dikongsi di Facebook ini menunjukkan Mohamad Fuzi Harun (tengah) bersama pegawai kanan lain di Istanbul. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini berkata, kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan lawatan kerja polis ke Turki atas tajaan sebuah syarikat perjudian.

Beliau membalas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilapor menyifatkan tindakan Da Ma Cai menaja rombongan ke Turki yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, sebagai tidak sensitif terhadap umat Islam.

“Kita perlu mengingatkan beliau, ketika menuding 1 jari (ke arah saya), ada 4 jarinya menghala ke arah dirinya,” katanya dalam sebuah majlis meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan pegawai kastam hari ini.

“Saya difahamkan lembaga pengarah meluluskannya pada 2017. Saya percaya beliau (Asyraf) ketika itu ialah timbalan menteri.”

Asyraf ialah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam.

Lim mendakwa Asyraf meniup “sentimen berbahaya” dan politik sempit.

“Disebabkan saya bukan umat Islam, saya mahu beritahu beliau perkara ini. Jika beliau mahu buat tuduhan, beliau perlu cermin diri terlebih dahulu,” kata Lim.

Delegasi itu dilaporkan ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Sarawak Report sebelum ini menyiarkan gambar Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis menyertai rombongan itu.

Menurut laporan itu, 16 pegawai kanan menyertai lawatan kerja itu yang menelan belanja lebih RM300,000 untuk penerbangan kelas perniagaan dan penginapan di hotel 5 bintang.

Semalam, Lim dilaporkan berkata, lawatan kerja itu ditaja Da Ma Cai, selepas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia diluluskan Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun mengawal selia industri perjudian di bawah Kementerian Kewangan.

Lim berkata, berdasarkan prosedur sedia ada, Lembaga Totalisator Malaysia tidak perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan untuk sebarang tajaan.

“Lembaga Totalisator tidak perlu rujuk MOF (Kementerian Kewangan) dan ini sesuatu yang saya tidak tahu langsung. Ini tidak diluluskan oleh MOF. Ini diluluskan sendiri oleh Totalisator Board.”

Ditanya jika ia satu kebiasaan untuk Lembaga Totalisator Malaysia menaja lawatan sedemikian, Lim berkata, ada peruntukan undang-undang yang membenarkan keputusan seperti itu.

“Di bawah akta itu, mereka boleh membuat keputusan seperti itu tanpa merujuk Kementerian Kewangan.”

Lim berkata, ada kemungkinan banyak lawatan sedemikian ditaja lembaga terbabit dahulu.

“Saya cuma mahu katakan, biarkanlah.”