Hak saya bercakap tentang kes RM90 juta, Clare beritahu PAS

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berkata, penyelesaian yang dicapai dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang tidak menyebaut apa-apa berkait hak kebebasan bersuara. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menolak kenyataan pemimpin PAS bahawa beliau sepatutnya berhenti bercakap mengenai “kes RM90 juta” berikutan penyelesaian di luar mahkamah yang dicapainya dengan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul hadi Awang.

Bercakap kepada FMT, Clare berkata, perintah persetujuan yang merupakan sebahagian daripada penyelesaian itu hanya menyebut bahawa Hadi sebagai pihak yang menuntut tidak akan meneruskan tuntutannya dan beliau menarik balik tuntutan-balasnya, tanpa apa-apa perintah berkaitan kos.

“Ia tidak menyebut apa-apa berkait hak saya mengamalkan kebebasan bersuara,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Dia (Amar) mungkin tidak suka saya bercakap tentang kes itu, tetapi PAS juga bercakap tentang kes yang sama,” tambahnya.

Amar berkata, beliau tidak faham kenapa Clare masih menulis dan menyerang PAS mengenai isu itu. Beliau berkata, Clare terikat dengan perjanjian yang dibuat dan tidak seharusnya memanjangkan isu berkenaan.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berhubung satu artikel diterbitkan oleh Sarawak Report yang mendakwa RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke akaun pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka menyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Clare berkata, perkembangan kes itu merupakan pengajaran supaya berhati-hati ketika membawa kes saman fitnah untuk tujuan politik.

“Jika PAS tidak benar-benar merancang untuk ke mahkamah dan menghadapi soalan-balas, ia sepatutnya tidak membawa kes itu ke mahkamah.”

Bercakap tentang isu sama, peguam Ang Hean Leng berkata, terma perjanjian penyelesaian akan menentukan sama ada pihak yang terlibat dalam saman fitnah boleh bercakap tentangnya selepas penyelesaian dicapai.

“Jika tidak ada syarat itu, mana-mana individu bebas berbuat apa-apa sahaja melainkan mereka dihadkan oleh undang-undang atau perjanjian.”