Hakim: Larangan rokok boleh laksana, kenapa tidak perkahwinan bawah umur?

Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, Mahkamah Syariah Kelantan menerima 15 permohonan perkahwinan bawah umur sejak 2018 hingga awal tahun ini. (Gambar fail)

KOTA BHARU: Sebanyak 15 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan di Mahkamah Syariah negeri ini bagi 2018 sehingga awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, hanya 10 permohonan diluluskan melibatkan pasangan berumur 15 tahun ke atas.

“Walaupun jumlah ini dilihat kecil, tetapi perkahwinan bawah umur harus dicegah awal kerana dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah kepada pasangan muda,” katanya selepas menghadiri Forum Perdana “Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-Kanak: Apa Kata Pakar” di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, hari ini.

“Kita tidak menggalakkan kahwin muda kerana pelbagai situasi akan timbul, antaranya bagaimana pasangan muda ini nak urus rumah tangga, ekonomi keluarga dan individu juga dilihat sukar berkembang, termasuk sudut pendidikan dan sosial.

“Kalau hanya mempunyai sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), nak ada kemajuan diri tak boleh. Berbeza jika kita benarkan pasangan berkahwin pada usia 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya mereka sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Abu Bakar berkata, kerajaan Arab Saudi mengharamkan perkahwinan pasangan berumur 15 tahun Januari lalu, manakala kebenaran mahkamah diperlukan bagi pasangan 18 tahun ke bawah.

“Kita pula mengikut enakmen yang ada, masih mempunyai kelonggaran bagi pasangan 15 tahun untuk berkahwin dengan syarat mendapat kebenaran mahkamah.

“Kita serahkan kepada pemerintah jika melihat perkara ini perlu untuk diselaraskan (tidak benarkan perkahwinan bawah umur). Kalau peraturan larangan merokok boleh dilaksanakan, larangan kenderaan berat di jalan raya semasa musim perayaan, apatah lagi pelaksanaan perkara ini.”

Untuk rekod, bagi 2001 sehingga 2017, sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan, hanya 200 permohonan tidak luluskan atas sebab tertentu, termasuk pasangan tidak hadir ke mahkamah.