KKM: Kerajaan tidak hukum individu guna produk berasaskan ganja, jika patuh syarat

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pengambilan ubat berasaskan ganja itu tidak pernah dilarang sebelum ini, tetapi mesti mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan serta Akta Dadah Berbahaya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat yang mengambil, memiliki atau mengedar produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan asalkan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pengambilan ubat berasaskan ganja itu tidak dilarang sebelum ini, tetapi ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan serta Akta Dadah Berbahaya.

“Perkara ini juga di bawah Akta Dadah Berbahaya. Akta ini akan memastikan bagaimana dadah diperoleh, dimiliki atau diedarkan. Kesemuanya dikawal oleh berkenaan.

“Sekiranya seseorang doktor memperoleh ganja yang didaftar, dia mesti buktikan dia dapat lesen daripada kerajaan. Pesakit juga mesti mendapat preskripsi doktor. Semua proses ini dikawal bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan platform kesihatan sokongan doktor, semalam.

Lee berkata demikian ketika mengulas kenyataannya sebelum ini yang menyatakan ganja boleh digunakan untuk tujuan perubatan, sekiranya terbukti keberkesanannya, walaupun beberapa bulan lepas seorang lelaki dikenakan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki ganja untuk tujuan perubatan.

Lee menjelaskan, individu itu dikenakan hukuman kerana beliau tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan ketika mahu menggunakan ubat tersebut.

Beberapa bulan lepas, Muhammad Lukman Mohamad ditahan kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).

Lukman dikatakan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan. Pada 30 Ogos lalu, Lukman dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Lee berkata, kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana individu atau syarikat yang mahu mengambil serta menggunakan produk atau ubat berasaskan ganja pada ketika ini.

“Memang kita tidak halang untuk daftar ganja sebagai ubat. Tapi mereka yang ingin guna ganja sebagai ubat mestilah kemukakan formula tersebut kepada farmasi untuk daftar sebagai ubat sebelum ganja itu boleh digunakan.

“Apabila permohonan dikemukakan kepada farmasi, farmasi akan pertimbangkan formula tersebut sama ada berkesan dan selamat. Kalau ya, jadi farmasi boleh luluskan ubat untuk digunakan,” katanya lagi.

Semalam ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu memberi peluang kepada produk berasaskan ganja yang diimport bagi tujuan perubatan.

Katanya, kerajaan mahupun pihak terlibat perlu lebih terbuka untuk menggunakan ganja bagi tujuan rawatan memandangkan sudah banyak kajian klinikal dijalankan, sama ada oleh makmal perubatan tempatan dan antarabangsa.

Terdahulu Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan.

Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli.