Lawatan putera mahkota Saudi menjurus kepada ekonomi, kata Saifuddin

Putera Mahkota Mohammed Salman dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi 2 hari. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hujung minggu ini antara lain dijangka menyentuh mengenai hubungan dan kerjasama ekonomi Jeddah-Kuala Lumpur, kata Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah.

Tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai lawatan Putera Mahkota Arab Saudi itu, beliau berkata lawatan itu lebih menjurus kepada hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

“Saya cadangkan kepada anda bertanya juga kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali,” katanya ringkas selepas sesi perbincangan meja bulat bersama kumpulan belia hari ini.

Agensi berita asing melaporkan Mohammed, yang merupakan pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi, dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia bermula dengan lawatan ke Pakistan minggu ini.

Dari Islamabad, putera mahkota Arab Saudi itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi 2 hari sebelum meneruskan lawatan ke Indonesia pada Isnin dan selepas itu ke India.

Lawatan Mohammed ke Malaysia adalah yang pertama selepas dilantik sebagai putera mahkota Arab Saudi pada Jun 2017.