Lebih tunai, kurang kawalan: ‘Keutamaan’ baru Khazanah

Sumber berkata, Khazanah juga dijangka mengurangkan kehadiran fizikalnya di lokasi luar negara seperti di London, Mumbai dan Lembah Silikon. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan induk negara, Khazanah Nasional akan mendedahkan bulan ini rancangannya untuk menyediakan lebih banyak wang tunai kepada kerajaan dengan mengecilkan pegangannya dalam aset bukan-strategik dan mengurangkan kehadiran luar pesisirnya di lokasi seperti London, sumber memberitahu Reuters.

Ini mengisyaratkan keperluan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menambah wang kerajaan, yang merosot akibat defisit kewangan dan hutang besar disebabkan skandal berbilion ringgit melibatkan syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB.

Di bawah strategi baru ini, yang bakal diumumkan ketika semakan tahunan Khazanah pada 28 Februari depan, dana bernilai AS$39 bilion itu akan mengecilkan pegangannya dalam sebilangan syarikat yang dikenal pasti sebagai bukan-strategik kepada 15-25% – kadar pegangan lazim dalam dana pencen, kata 2 sumber.

Khazanah juga akan mengurangkan kehadiran fizikalnya di lokasi luar negara seperti di London, Mumbai dan Lembah Silikon, kata 2 sumber lain. Ia menimbangkan untuk melepaskan sebahagian daripada hartanah asing dan pelaburan teknologinya, tambah mereka.

“Mereka tidak terdesak untuk mendapatkan wang, tidak dengan cara yang akan menghakis nilai. Ia terstruktur dan beransur-ansur, tetapi ia akan dilakukan kerana objektif segeranya ialah untuk mendapatkan wang,” kata sumber.

Khazanah, yang secara tradisinya merupakan pelabur strategik, enggan memberi komen terhadap laporan ini.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan perbincangan yang berjalan berkata, Khazanah “kini meningkatkan fokus kepada aset komersial berbanding sebelum ini. Aset strategik juga sama penting dan ia perlu menjadikannya lebih cekap dan menguntungkan”.

Sumber, yang enggan dikenali kerana sensitiviti perkara itu berkata, matlamat Khazanah ialah untuk mengurus pegangannya sebagai pelabur portfolio, bukannya pelabur langsung aktif.

Komersial lwn strategik

Berikutan semakan dalaman sejak perubahan pengurusannya tahun lepas, Khazanah mengenal pasti pelaburannya dalam lebih 100 firma di lebih 20 negara di bawah 2 kategori, iaitu strategik dan komersial, kata sumber.

Syarikat seperti firma utiliti kerajaan, Tenaga Nasional, Penerbangan Malaysia (MAS) – yang diambil alih 4 tahun lepas, Malaysia Airport Holdings dan Telekom Malaysia dikenal pasti sebagai pegangan strategik dan pemilikannya tidak akan berubah, kata sumber.

Pegangan dalam portfolio lain akan menyaksikan potongan, seperti pegangan 27% dalam CIMB Group Holdings, 36% dalam syarikat telekomunikasi Axiata Group dan konglomerat milik penuh dalam bidang kejuruteraan, infrastruktur dan perkhidmatan, UEM Group, kata mereka.

Pada November lepas, Khazanah mengumumkan perjanjian untuk menjual 16% pegangan dalam IHH Healthcare (IHH), yang menyaksikan pegangannya dalam kumpulan hospital Asia itu berkurang kepada 26%.

“Buat pertama kalinya saya melihat keberanian di pihak Khazanah,” kata seorang pengurus kanan M&A Asia di sebuah bank pelaburan AS. “Ia bertanyakan syarikat portfolio apakah pulangan komersial perniagaan mereka?”

“Malaysia adalah hidangan untuk pengurus bank M&A. Ia memerlukan wang dan Khazanah perlu menjual banyak (pegangannya),” kata beliau.

Sumber berkata, aset Khazanah akan menarik minat dari Jepun, pelabur Asia lain dan dana global.

Perubahan keutamaan di Khazanah

Pelaburan asing Khazanah, yang mewakili kira-kira 45% daripada aset boleh tunainya berdasarkan pendedahan geografi setakat Disember 2017 juga mungkin dilupuskan, kata sumber lagi.

Usaha sama 60:40 Khazanah dengan Temasek Singapura, M+S Pte Ltd, kini berada di peringkat perbincangan lanjut dengan pelabur untuk menjual ruang pejabat, sebuah hotel dan komponen runcit pembangunan hartanah DUO yang terletak di pinggir daerah kewangan republik itu, kata sumber lain.

Urus niaga itu mampu mencapai harga AS$1.47 bilion dan pengumuman akan dibuat dalam beberapa minggu akan datang, kata mereka.

M+S berkata, ia melantik JLL sebagai penasihat dalam urusan hartanah berkaitan penjualan itu, tetapi enggan memberi komen lanjut.

Pencapaian Khazanah perlahan sepanjang beberapa tahun terakhir ini dengan nilai portfolionya meningkat 29.4% dari 2012-2017, sementara Temasek meningkat 43.2% kepada AS$227 bilion dalam 5 tahun sehingga Mac 2018.

Prasenjit Basu, ketua ekonomi CrossAsean Research dan bekas ketua-bersama penyelidikan di Khazanah berkata, perubahan yang berlaku di syarikat pelaburan itu menunjukkan perubahan menyeluruh keutamaannya.

“Hakikat bahawa IHH, yang merupakan permata di mahkota Khazanah, dijual mengisyaratkan ia kini beralih daripada pegangan strategik dalam syarikat asing kepada memfokus untuk memberi dividen kepada kerajaan,” kata Basu.

“Daripada berperanan sebagai pelabur “ekuiti persendirian”, Khazanah akan menjadi pelabur portfolio.”