MBPJ, pemaju sepakat tangani ancaman banjir kilat Kelana Jaya

Kawasan perumahan SS7, Kelana Jaya dinaiki air berikutan hujan lebat pada 7 Februari lepas.

KUALA LUMPUR: Kerana banjir kilat sering berlaku di SS7, Kelana Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuat keputusan membina empangan serta mengarahkan pemaju Sunway Serene merobohkan perangkap sampah di kawasan pembinaan.

Perkara itu dimaklumkan timbalan pengerusi persatuan penduduk SS7, Esham Salam yang mengalu-alukan inisiatif daripada pihak berkuasa tempatan dan pemaju dalam mengatasi banjir kilat di kawasan tersebut.

“Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar telah menganjurkan satu mesyuarat yang dihadiri oleh pihak MBPJ dan wakil pemaju kondominium Sunway Serene bersebelahan dengan kejiranan Lengkok Golf SS7, iaitu projek yang dikaitkan sebagai salah satu penyebab banjir.

“MBPJ bersetuju membuat tindakan jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir seperti membina empangan di hulu tasik dan mengarahkan pemaju supaya merobohkan perangkap sampah,” katanya kepada FMT.

Esham menggesa MBPJ mengunakan data meteorologi yang bersesuaian dengan reka bentuk dan perancangan kejuruteraan bandaraya dan bukan data jangka pendek atau standard kejuruteraan yang tidak bersesuaian.

“Sekiranya hujan melebihi 45 minit atau mengikut data meteorologi semasa banjir yang terbaru, 40mm sejam, sebahagian besar kawasan SS7 Kelana Jaya akan ditenggelami air.

“Ini perkara yang membimbangkan,” katanya.

Dalam soal pengurusan saliran di kawasan tadahan air sekitar SS7, Esham bimbang dengan kerja pembinaan yang sedang berjalan dan pemaju dibenarkan memasuki tasik yang berfungsi sebagai kolam tebatan banjir.

“MBPJ perlu mengeluarkan arahan berhenti kerja dengan serta merta supaya siasatan dapat dijalankan bagaimana ‘pencerobohan’ kolam tebatan boleh berlaku dan meminta pihak pemaju mencari jalan lain tanpa menjejaskan tasik itu,” katanya.

Baru-baru ini, FMT melaporkan penduduk Lengkok Golf SS7 di Kelana Jaya berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat akibat sistem perparitan yang tidak efisien, yang dikaitkan dengan projek Sunway Serene.

Kawasan perumahan SS7 tidak pernah mengalami banjir kilat dalam tempoh lebih 30 tahun sehinggalah awal tahun lalu.

Kapasiti tasik di kawasan perumahan SS7 semakin mengecil dan tidak dapat menampung air hujan sehingga melimpah ke rumah berdekatan. Pada 7 Disember lepas, 26 buah rumah dimasuki air hingga paras buku lali.

Paling terbaru minggu lalu apabila parit berhampiran kawasan perumahan tersebut mencapai kapasiti maksimum dan hampir mengakibatkan banjir besar.

Sunway Serene merupakan projek Sunway Property bawah Sunway Group dan terletak di Jalan SS7/4, Kelana Jaya iaitu berhampiran dengan bandar utama Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

Setiap blok Sunway Serene mempunyai 46 tingkat dan setiap unit dijual dengan harga bermula RM732,000 dan dijangka siap pada 2022.