Menteri: Cadangan mansuh hukuman mati dimuktamadkan sebelum Parlimen bersidang

Oktober lalu, Kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan.

ISKANDAR PUTERI: Cadangan membawa pemansuhan hukuman mati ke Parlimen akan diputuskan Kabinet sebelum Parlimen bersidang bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan itu akan mengambil kira pendapat semua pihak berkaitan.

“Keputusan muktamad akan dibuat sebelum Parlimen bersidang. Kita ambil berat pandangan yang telah diberikan semua pihak.

“Kita juga kena memahami perasaan anggota keluarga mangsa yang telahpun kehilangan insan kesayangan, jadi ini kena ambil kira,” katanya selepas melawat tapak cadangan kompleks mahkamah baru di Kota Iskandar, dekat sini, hari ini.

Beliau ditanya status terkini cadangan pemansuhan hukuman mati untuk semua akta.

“Kita kena tunggu keputusan jemaah menteri sebab ini juga merupakan satu manifesto Pakatan Harapan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori daripada semua akta, jadi inilah hasrat kerajaan baru ini.”

Menurutnya, pelbagai maklum balas diterima dan diambil kira, termasuk banduan, ahli keluarga mangsa bunuh dan banduan serta badan bukan kerajaan.

Parlimen dijangka mula bersidang 11 Mac ini.

Oktober lalu, Kabinet memutuskan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan.

Susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Selain itu, Kabinet turut mempertimbangkan pelaksanaan hukuman penjara minimum 30 tahun, jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.