PAS tunggang Umno atau sebaliknya, soal Muhyiddin

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata PH perlu bekerja keras untuk menang PRK DUN Semenyih.

SEMENYIH: Presiden PPBM hari ini tertanya apakah sebenarnya kerjasama antara Umno-PAS pada pilihan raya kecil DUN Semenyih akan datang, sama ada PAS “menunggang” Umno atau sebaliknya.

Beliau ditanya pemberita sama ada Pakatan Harapan gusar dengan gandingan kedua-dua parti itu.

“Ternyata di sini, saya tidak tahu siapa menunggang siapa. PAS tunggang Umno ke atau sebaliknya. Realitinya, PAS dan Umno bergabung itu soal mereka,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PPBM untuk PRK Semenyih di Taman Pelangi hari ini.

Bagi Pakatan Harapan, apa bentuk kerjasama antara PAS dan Umno kali ini tidak begitu penting berdasarkan kepada kajian simulasinya.

“Yang penting, kita bekerja keras di sini,” katanya.

PAS dilapor tidak akan meletakkan calon pada PRK DUN Semenyih agar calon pembangkang memperoleh sokongan undi yang lebih besar menentang calon kerajaan.

PAS juga akan mengerakkan jentera pilihan rayanya bagi membantu calon pembangkang.

Muhyiddin turut ditanya sama ada bekas-bekas ahli Parlimen Umno yang diterima masuk PPBM baru-baru akan turun berkempen di Semenyih.

Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk membenarkan wakil-wakil rakyat barunya turun padang, katanya.

“Mereka menyuarakan hasrat tersebut dan masing-masing bersedia untuk memberikan komitmen itu,” jelasnya.

Selasa lalu, PPBM mengumumkan kemasukan Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah).