Pensyarah undang-undang Azmi Sharom dilantik timbalan pengerusi SPR

Azmi Sharom akan membantu Azhar Harun yang dilantik sebagai pengerusi SPR September tahun lalu.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mengumumkan pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom dilantik sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Azmi yang lantang bersuara akan membantu Azhar Harun yang dilantik mengetuai SPR September lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar dalam satu kenyataan turut mengumumkan 4 pesuruhjaya SPR, termasuk seorang aktivis Bersih 2.0, Zoe Randhawa.

Tiga yang lain adalah bekas ketua setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim, bekas ketua pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Chin Phaik Yoong dan Prof Faisal S Hazis yang merupakan felo kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong sudah meluluskan pelantikan itu mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

“Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh mereka melaporkan diri sebagai anggota SPR sehingga mencapai usia 65 tahun, selaras Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan,” kata Ismail.

Pelantikan itu menamatkan kritikan pelbagai pihak mempersoalkan kuasa Azhar membuat keputusan bersendirian tanpa perbincangan bersama yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut mempertikaikan kelayakan dan kedudukan SPR dalam menentukan proses penjalanan pilihan raya, terutama membabitkan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, bulan depan.

Sabtu lalu, seorang pengundi di Semenyih memohon perisytiharan mahkamah sama ada “anggota tunggal” SPR boleh melaksanakan tugas diamanahkan kepada suruhanjaya itu di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bulan lalu, Azhar dilaporkan berkata, beliau boleh bekerja bersendirian dan semua keputusan dibuatnya adalah sah dan mengikut undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara.

SPR hanya dianggotai seorang pengerusi tanpa 6 ahli lain susulan peletakan jawatan bekas timbalan pengerusinya bersama 5 yang lain pada 1 Januari lalu.