Perusuh bawa ‘pedang samurai’ serang jentera bomba, kata saksi

Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata, beliau tidak nampak kelibat Muhammad Adib Mohd Kassim di luar kenderaan, ketika jentera FRT diserang dan beliau berlari memasuki van EMRS.

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner di sini, seorang perusuh membawa objek menyerupai pedang samurai untuk menyerang jentera bomba, ketika keganasan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Anggota bomba, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata, perusuh juga menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) menggunakan tiang sepak takraw ketika rakan sekerjanya mengambil alat memadam api di belakang kenderaan itu.

“Saya nampak sekumpulan orang dari depan kuil menuju ke arah jentera. Saya juga nampak seseorang kejar saya dan menuju ke depan FRT dan mula serang (jentera).

“Saya nampak mereka pegang tiang net sepak takraw warna putih, objek lurus seakan-akan pedang samurai, (selain) kayu, batu dan topi keledar.

“Yang pegang objek seperti pedang samurai itu hanya seorang. (Dia membawanya) sambil bersorak,” katanya dalam inkues menentukan punca kematian rakan sekerjanya, Muhammad Adib Mohd Kassim, hari ini.

Saksi ke-6 itu berkata, beliau segera berlari dan memasuki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebaik sahaja ternampak beberapa individu menuju ke arahnya.

“Saya nampak seorang individu badan gempal, baju berwarna cerah dan seorang yang kejar saya dari belah kiri jentera.

“Saya terus berlari masuk ke van EMRS melalui pintu kiri, menutup pintu dan menyorok baring di depan ‘stretcher’.”

Katanya, sebaik sahaja memasuki van, jentera FRT berundur dan terlanggar van EMRS.

Hazim berkata, beliau tidak nampak kelibat Adib di luar kenderaan, ketika jentera FRT diserang dan beliau berlari memasuki van EMRS.

“Semasa berada di bahagian luar menuju ke van EMRS, saya tak nampak arwah (adib) di luar. Kami semua pakai baju celoreng. Kalau Adib keluar, saya boleh cam baju dia.

“Sebaik sahaja memasuki bahagian belakang EMRS, saya tak boleh nampak apa berlaku di luar sebab gelap dan cermin ‘tinted’. Masa dalam van, saya rasa bunyi ketukan kuat dari luar di sekeliling EMRS. Saya rasa macam EMRS bergoyang.

“Saya dapat rasakan van EMRS berpusing (akibat dilanggar jentera FRT). Bila cermin belakang van pecah, baru saya nampak kawasan persekitaran perumahan dan orang baling topi keledar dari luar ke bahagian belakang EMRS,” katanya pada hari ke-4 inkues.

Hazim berkata, beliau menyedari pintu kiri EMRS tercabut, selepas van berpusing dan bergesel dengan jentera FRT.

Merujuk keputusannya berlindung dalam van EMRS, katanya, jika beliau kembali ke tempat duduk kanan jentera FRT, beliau mungkin tidak selamat kerana perusuh mula menyerang.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar kuil Hindu itu pada akhir November lalu.

Beliau meninggal dunia selepas 3 minggu dirawat di Institut Jantung Negara.

Seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan dalam inkues yang dijadualkan berlangsung selama 52 hari.