Perusuh ugut pukul bomba jika padam kebakaran kereta, kata saksi

Shahrol Anuar berkata, kira-kira 100 perusuh datang dari arah depan jentera FRT berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

SHAH ALAM: Anggota bomba yang ditugaskan memadam kebakaran kereta di luar Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu berkata, sekumpulan perusuh mengugut akan memukul mereka, jika memadamkan kereta terbakar.

Saksi ke-7, Sharol Anuar Kamarudin, 27, mereka didatangi sekumpulan perusuh bersenjatakan kayu, batu dan tiang sepak takraw yang meluru ke jentera bomba dinaikinya.

“Saya tergamam, sebaik sahaja turun dari FRT (Fire Rescue Tender), niat kita nak padam api, saya dengar mereka (perusuh) cakap macam ugut dengan suara yang tinggi.

“Mereka cakap jangan padam (kebakaran), pukul bomba. Selepas dengar macam itu, saya terus naik balik jentera FRT. Perkataan ‘jangan padam’ mereka sebut lebih 3 kali, perkataan ‘pukul bomba’ dalam 2 kali,” katanya dalam inkues menentukan kematian rakan sekerjanya, Muhammad Adib Mohd Kassim di depan Koroner, Rofiah Mohamad hari ini.

Sharol berkata, kira-kira 100 perusuh datang dari arah depan jentera FRT dan meminta rakannya merakamkan kejadian itu, tetapi tidak sempat kerana ia berlaku dengan pantas.

Katanya, keadaan di dalam jentera FRT kelam-kabut dan mereka panik kerana perusuh menyerang kenderaan itu.

“Mula-mula saya nampak mereka dalam 3 orang di depan, menuju ke FRT, di belakang mereka ada ramai lagi, dalam 100 orang.

“Lepas saya masuk ke dalam FRT, saya dengar bunyi hentaman kuat di kiri FRT dan bahagian depan. Saya berganjak ke tempat duduk tengah FRT dan nampak cermin sudah pecah dan jentera sedang mengundur ke belakang, keadaan di luar juga sangat bising.

“Pemandu cakap, ini sudah melampau. Penyelia operasi bomba Subang Jaya, Badrul Hisham Salleh kemudian menghantar laporan kepada bilik operasi memberitahu kami diserang, itu saja saya sempat dengar.”

Katanya, beliau dimarahi Badrul kerana bertindak keluar dari jentera FRT.

“Masa dia larang, saya tak dengar apa-apa sebab selalunya bila sampai sahaja di tempat kejadian, dengan pantas kita turun untuk memadam api.”

Beliau berkata, jentera FRT dinaikinya berundur sehingga terlanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kemudiannya van yang dinaiki Adib itu berada di depan jentera FRT.

“Perasaan kami pada masa itu takut. Kami cuba hubungi EMRS tidak dapat, selepas itu kami perasan salah seorang rakan dari jentera FRT, Mohd Hazim Mohd Rahimi tidak ada.

“Saya kemudian memaklumkan Badrul dan Badrul kata kita pergi buat laporan polis. Sampai di balai polis, kami diberitahu Adib tidak ada (dalam van EMRS) dan Hazim menaiki van EMRS.

“Kami menghubungi Adib banyak kali tidak terjawab, beberapa minit kemudian kami hubungi lagi, ada orang jawab kata mereka sedang hantar Adib ke hospital, keadaannya 50-50. Kami kemudian ke hospital menaiki jentera.”

Katanya, 7 anggota dalam trak bomba FRT dan 2 anggota dalam van EMRS tiba di luar kuil Hindu itu kira-kira 1 pagi dan ternampak sekumpulan individu berada di sekeliling sebuah kereta terbakar.

Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia selepas 3 minggu dirawat di Institut Jantung Negara.