PH diingatkan tidak ugut media berhubung debat ijazah

Saman fitnah tidak seharusnya melemahkan fungsi media dan hak kebebasan bersuara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebebasan media menggesa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengugut media kerana mempersoalkan kelayakan akademik sebahagian daripada mereka.

Ini berikutan amaran Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang membuat “kenyataan fitnah” berhubung kelayakan beliau, termasuk agensi media pro-Barisan Nasional (BN).

Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) memberitahu FMT, walaupun semua orang mempunyai hak untuk membuat saman fitnah, tetapi adalah penting “tindakan itu tidak menimbulkan kesan menakut-nakutkan, dan hak media mempersoalkan menteri, termasuk berkait kelayakan akademik mereka, tidak dirosakkan”.

Lim, yang kelayakannya baru-baru ini dipersoalkan oleh presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, merupakan pemimpin PH terbaru yang diperiksa berhubung kelayakan akademik mereka. Terdahulu, seorang timbalan menteri dikritik hebat berkait isu sama.

Akbar The Star memetik Wee berkata, lamanweb peribadi Lim menyebut beliau menjadi akauntan bertauliah pada 1983, sedangkan lamanweb Universiti Monash menunjukkan beliau hanya memperoleh ijazahnya pada 1984.

Isnin lepas, setiausaha politik Lim, Tony Pua memberitahu, setiausaha agung DAP itu “berhak” memfailkan kes terhadap pihak yang membuat dakwaan memfitnah yang terus “menghakis kedudukan, wibawa dan kredibiliti” beliau.

Penyelaras projek, badan hak asasi manusia Suaram, Dobby Chew berkata, organisasi media yang menerbitkan laporan sedemikian mestilah mampu mempertahankan tindakan mereka berhubung isu tersebut.

Katanya, ahli politik, menteri atau mana-mana individu lain mempunyai hak untuk memulakan saman fitnah. “Terserah kepada mereka untuk mempertahankan imej dan reputasi masing-masing.”

Bagaimanapun beliau mengingatkan wakil kerajaan, termasuk Lim, supaya tidak memfailkan saman fitnah terhadap organisasi media “sesuka hati” kerana ia akan melemahkan kebebasan bersuara.

“Selain itu, undang-undang berkaitan saman fitnah dan pembelaannya mungkin tidak mencukupi untuk melindungi kebebasan media.

“Menteri PH perlu peka tentang peranan, pengaruh dan kedudukan mereka sekarang dalam kerajaan, dan tidak menyumbang kepada pengehadan kebebasan bersuara yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Dobby juga mengingatkan tentang gesaan diwujudkan majlis media yang bebas dan adil.

Majlis sedemikian boleh mengawal selia tingkah laku entiti media dan menyediakan sokongan perlu apabila diperlukan, tambah beliau.

November lepas, penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A Kadir Jasin berkata, Putrajaya mahu menyegerakan proses penubuhan majlis media Malaysia.