PPBM calonkan jurutera untuk PRK Semenyih

Aiman Zainali

SEMENYIH: PPBM hari ini menamakan seorang jurutera, Aiman Zainali sebagai calon Pakatan Harapan untuk mempertahankan DUN Semenyih pada pilihan raya kecil akan datang.

Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Aiman akan dapat sokongan secukupnya untuk PH mengekalkan kerusi itu.

Katanya, Aiman sudah melepasi tapisan berperingkat bagi memastikan calon PH tidak mempunyai rekod rasuah dan jenayah.

Calon berusia 30 tahun ini merupakan anak jati Semenyih dan bekerja sebagai seorang jurutera di syarikat swasta. Aiman juga adalah menantu kepada penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketika ditemui pemberita, Aiman berkata dia tidak mahu tumpu pada isu nasional ketika berkempen, yang akan bermula Ahad ini.

“Saya kira bawa isu tempatan sahaja, lebih dekat dengan penduduk-penduduk di sini,” katanya, dan menambah antara isu yang akan diberi tumpuan adalah mutu jalan raya dan jambatan Semenyih yang masih belum selesai meskipun sudah bertahun dbina.

Ditanya sama ada beliau bersedia dengan isu-isu berkaitan sentimen Melayu dan Islam, Aiman berkata perkara itu tidak menjadi isu.

“Kalau PAS dan Umno nak mainkan sentimen Melayu dan Islam, saya pun Melayu dan Islam,” katanya.

Sambil bekerja dan berpolitik, beliau dalam masa sama seorang calon doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia.