Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Institut Onn Ja’afar (IOJ) akan meluaskan program sarapan percuma ‘Jom Breakfast 2019’ ke Pulau Pinang bermula bulan hadapan dengan menyasarkan kira-kira 200 golongan kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak.

Ketua pegawai eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata program itu akan melibatkan beberapa lokasi antaranya Penang Peace Learning Centre, St Nicholas Home dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Timur Laut.

“Program ini melibatkan kerjasama dengan sekumpulan pelajar Univesiti Sains Malaysia (USM) dan ia sekaligus dapat memupuk semangat kesukarelawan dan nilai kasih sayang terhadap golongan kurang bernasib baik,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Jom Breakfast 2019’ di Sekolah Bimbangan Jalinan Kasih.

Dalam pada itu, Charles berkata program Jom Breakfast di Kuala Lumpur yang sudah masuk kali ke-4 tahun ini diadakan pada setiap hari Rabu dengan hampir 30 sesi sehingga November ini dengan melibatkan hampir 1,000 sukarelawan.

Selain Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih turut dalam agihan sarapan percuma ialah Yayasan Chow Kit, Pusat Aktivti Kanak-Kanak, KL Krash Pad, Pusat Transit Gelandangan dan Karen Group Refugees Centre, katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]