Putrajaya beri kerakyatan pada 3 kanak-kanak

PUTRAJAYA: Putrajaya hari ini mengumumkan keputusannya memberi taraf kerakyatan kepada 3 kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini, tetapi bukannya warganegara Malaysia.

Keputusan itu menyebabkan ibu bapa mereka menarik balik rayuan di depan panel 9 hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Ahmad Maarop.

Peguam, Cyrus Das yang mewakili 2 perayu berkata, mereka dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri memutuskan memberi taraf kewarganegaraan itu di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Ia datang selepas sekian lama, selepas mahkamah menangguhkan rayuan beberapa kali.”

Das berkata, beliau sedia menarik balik rayuan itu, bergantung kepada pengesahan penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri, Mohammad Al-Saifi Hashim yang turut berada di mahkamah hari ini.

Al-Saifi berkata, proses undang-undang itu akan mengambil masa untuk keputusan berkenaan dilaksanakan.

Peguam, Gopal Sri Ram yang mewakili kes ke-3  turut menarik balik rayuannya.

Ahmad kemudiannya mengetepikan rayuan itu tanpa sebarang kos.

Cyrus kemudian memberitahu wartawan, taraf kewarganegaraan itu dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan budi bicaranya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Oktober lalu, 2 daripada 5 kes membabitkan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Mahkamah Persekutuan selesai, selepas Muhyiddin memberi taraf kerakyatan kepada mereka.

Permohonan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang remaja perempuan 13 tahun turut diluluskan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Media dilarang menyiarkan nama mereka, ibu bapa atau penjaga mereka atas arahan mahkamah.

Pada 11 September 2018, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan 3 pasangan supaya rayuan mereka didengar berhubung status anak tanpa kerakyatan.

Persoalan asas ialah sama ada pertalian darah atau keturunan ialah syarat di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan kewarganegaraan seorang kanak-kanak.

Dalam ketiga-tiga kes itu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerakyatan mereka hanya kerana ibu mereka ialah warga asing, walaupun kanak-kanak itu dilahirkan di Malaysia.

Dalam kes ke-4, sebuah Mahkamah Rayuan mengarahkan kerajaan mengeluarkan taraf kewarganegaraan kepada seorang kanak-kanak, di mana bapanya seorang rakyat Malaysia dan ibunya dari Papua New Guinea.

Dalam kes ke-5, Mahkamah Tinggi Shah Alam merujuk perkara itu kepada Mahkamah Persekutuan kerana ia membabitkan isu Perlembagaan.

Dalam kes itu, ibu bapa kandung kanak-kanak itu tidak diketahui, tetapi beliau dijadikan anak angkat oleh rakyat Malaysia.

Jabatan Pendaftaran Negara enggan memberi kerakyatan kepadanya kerana sijil kelahirannya menyatakan beliau bukan warganegara.