Putrajaya kekal subsidi haji, jamin pemulihan Tabung Haji tak tergugat

Menteri Mujahid Yusof Rawa (tengah) berkata Tabung Haji menanggung kos subsidi menjangkau lebih RM306 juta.

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan menanggung RM12,920 subsidi untuk setiap mereka yang tunai haji kali pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata dengan keputusan itu, kos menunaikan haji untuk setiap jemaah kali pertama kekal RM9,980.

Katanya, subsidi ini diberi walaupun dalam keadaan tertekan ekoran masalah kewangan yang dihadapi.

Katanya, TH tetap menanggung kos subsidi menjangkau lebih RM306 juta.

Katanya, kos haji tahun ini sepatutnya RM22,900 bagi setiap seorang.

“Ia lebih tinggi berbanding kos musim haji yang lalu sebanyak RM22,450. Dalam tempoh 10 tahun ini, Tabung Haji menanggung subsidi melebihi RM1 bilion,” katanya pada sidang media hari ini.

Mujahid menjelaskan, walaupun TH alami defisit kewangan dan kini dalam usaha lakukan pemulihan, agensi itu masih tetap dapat menyerap kos ditanggung jemaah haji.

“Kita takut juga dalam kita memberi subsidi, ia akan menjejaskan kewangan agensi, namun kita beri jaminan bahawa walaupun kita berikan subsidi, hal-hal berkaitan seperti hibah tidak terjejas,” katanya.

Katanya, dividen pelabur dalam TH masih tidak dapat diumumkan ketika ini, dan akan diumumkan sama ada hujung bulan ini atau bulan depan.

“Kuota haji untuk tahun ini juga kekal 30,200 jemaah, walaupun kita minta tambahan kepada 31,300 memandangkan rakyat Malaysia makin bertambah tetapi Arab Saudi tidak dapat penuhi,” katanya.

Sebelum ini, Mujahid mengumumkan TH diletakkan bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari lepas bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Katanya langkah itu sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Disember lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, TH akan memindahkan aset tidak menguntungkan bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas yang dimiliki kementerian kewangan pada 31 Disember.

Aset tidak menguntungkan yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan.

Zukri menjelaskan, TH tetap menunjukkan prestasi memberangsangkan berdasarkan peningkatan nilai dan jumlah deposit, iaitu sehingga Disember 2018, terdapat peningkatan deposit hampir RM1 bilion walaupun berdepan isu defisit berjumlah RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

Menurut Zukri, pada 2017 jumlah deposit di TH ialah RM73.56 bilion dan meningkat kepada RM74.5 bilion pada 2018.

Sepanjang tempoh itu juga, kata Zukri, sejumlah 31,580 akaun baru dibuka pendeposit.