Rafidah: Balasan menanti bekas Umno kalau berniat jahat

KUALA LUMPUR: Tujuh bekas ahli Parlimen Umno yang diterima masuk PPBM baru-baru ini perlu bersikap jujur supaya tidak menggugat kerajaan Pakatan Harapan, kata bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah penyertaan wakil-wakil rakyat itu walaupun tidak diketahui apakah niat sebenar mereka.

“Kalau mereka berniat baik semuanya akan jadi baik tetapi kalau mereka berniat sebaliknya, mereka akan terima balasannya,” katanya pada sidang media di majlis anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Rafidah mengesahkan dia masih belum berparti meskipun terdapat khabar angin mengenai penyertaannya dalam PPBM.

Bekas menteri itu berkata dia pernah berjanji dengan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad yang dia sertai parti itu, “tapi lupa pula nak ambil borang”.

“Tetapi setakat ini saya tak berminat nak sertai PPBM, jadi saya tidak ada kaitan dengan mana-mana parti,” katanya.

Rafidah yang sudah lebih 40 tahun bersama ahli Umno mendedahkan tidak menyesal keluar parti Melayu itu, “sebab tak nak dikaitkan dengan kleptokrat”.

“Jadi ahli politik untuk sesetengah parti tidak akan selamanya berkekalan, kad ahli tidak boleh dibawa ke kubur pun,” katanya.

Selasa lalu, PPBM mengumumkan kemasukan Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah).