Reaksi berbeza atas tindakan Perak buka lot Bumi tak laku pada kaum lain

Juruukur bertauliah veteran, Ernest Cheong berkata, langkah Perak itu tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat tidak mampu membeli rumah kerana berdepan kenaikan kos sara hidup.

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan Perak membenarkan pemaju memohon pelepasan kuota Bumiputera yang tidak terjual dalam 6 bulan berbanding 2 tahun mendapat reaksi berbeza daripada kumpulan berlainan berhubung kesan ke atas pengguna.

Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat, Salkukhairi Abd Sukor memberitahu FMT, langkah itu akan memanfaatkan pemaju perumahan dan menyebabkan kenaikan harga kerana hartanah dijual kepada bukan Bumiputera.

“Ia akan menjadi lebih sukar untuk Bumiputera mempunyai kemampuan untuk membelinya,” katanya yang mengetuai badan bukan kerajaan itu yang menyediakan nasihat guaman berkaitan hartanah.

“Dalam jangka panjang, pemilikan hartanah oleh Bumiputera juga merosot.”

Beliau turut memberi amaran langkah itu mungkin menyebabkan satu kaum memonopoli kawasan perumahan tertentu dan menjejaskan perpaduan negara.

“Contohnya, kawasan bandar akan dimonopoli orang Cina dan India, manakala kawasan luar bandar dimonopoli orang Melayu.”

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, tindakan mengurangkan tempoh pelepasan kuota Bumiputera itu bertujuan meringankan beban pemaju yang perlu menanggung kos kerosakan dan penyenggaraan rumah tidak terjual.

Di bawah peraturan baru itu, pemaju boleh memohon pelepasan 50% kuota Bumiputera jika mereka mencapai 30% pembinaan fizikal dan 60% lot bukan Bumiputera sudah dijual.

Permohonan pelepasan ke-2 untuk baki 50% lot Bumiputera hanya boleh dibuat selepas pembinaan fizikal mencapai 80% dan 90% lot bukan Bumiputera dijual.

Sementara itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyambut baik langkah itu yang disifatkan langkah proaktif yang perlu dicontohi negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Pemaju perumahan boleh memasukkan kos pemegangan yang lebih rendah dan menurunkan harga rumah,” kata Setiausaha Agung HBA, Datuk Chang kim Loong kepada FMT.

Tetapi, katanya, beliau mengandaikan pemaju perumahan tidak “sewenang-wenangnya menaikkan” margin keuntungan mereka.

Beliau berkata, lot Bumiputera tidak terjual bermakna pemaju perlu menanggung kos tambahan yang akhirnya akan dikenakan ke atas pembeli.

Beliau berharap langkah itu akan menyebabkan harga rumah turun kira-kira 5%.

Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Malaysia, Tang Chee Meng turut menyambut baik langkah itu dengan berkata, lot Bumiputera yang tidak terjual merupakan masalah besar bagi pemaju.

Katanya, peraturan baru itu boleh membantu pemaju perumahan mengurangkan kos pemegangan mereka dan memberi penjimatan kepada pembeli.

Bagaimanapun, juruukur bertauliah veteran, Ernest Cheong berkata, langkah itu tidak mampu menyelesaikan masalah utama dihadapi pasaran hartanah, iaitu ketidakmampuan membeli rumah.

“Untuk pemaju menjual hartanah mereka, mereka perlu menawarkan potongan harga yang banyak, mungkin sehingga 30% kerana masalah utama ialah rakyat tiada wang membeli rumah dan bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Rakyat akan membeli hartanah semula apabila pasaran berubah dan ini hanya akan berlaku selepas harga diturunkan.”