Ramasamy kritik Azmin sokong 7 ahli Parlimen Umno sertai PPBM

P Ramasamy mengakui kemasukan bekas ahlI Parlimen Umno itu mampu memperkukuhkan PPBM, tetapi masalah bakal timbul pada masa depan.

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengkritik pendirian Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kemasukan bekas ahli Parlimen Umno dalam PPBM dan bertanya jika beliau cuba menyelamatkan kerjaya politik sendiri.

“Sokongan terbuka Azmin terhadap tindakan PPBM ini memberi gambaran beliau mungkin ada idea lain mengenai masa depan kepimpinan negara dan peranannya yang sebenar,” katanya mengulas keputusan PPBM mengesahkan keahlian 7 ahli Parlimen yang meninggalkan Umno tahun lalu.

Ramasamy berkata demikian hanya 2 hari selepas Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan beliau akan dipecat parti itu.

Selasa lalu, PPBM mengumumkan kemasukan Ali Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah).

Beberapa pemimpin DAP bimbang dengan tindakan 7 ahli Parlimen itu menyertai PPBM, tetapi Azmin berkata, parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) tidak bimbang mengenainya.

Katanya, bekas ahli politik Umno itu sudah bertaubat.

“Mereka mula sedar Umno bukan parti yang boleh menjamin masa depan. Parti itu masih memainkan isu-isu perkauman, jadi ahli-ahli Parlimen ini merasakan itu bukan cara untuk maju,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu malam tadi.

Ramasamy bagaimanapun mempersoalkan jika Shabudin yang pernah mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya menyokong perkahwinan sebagai jalan keluar bagi beberapa mangsa rogol, kini mempunyai pandangan berbeza mengenai isu tersebut.

“Saya tidak ingat Shabudin pernah minta maaf atau bertaubat kerana membuat kenyataan tidak sensitif dan jelik itu.”

Beliau turut mempersoalkan jika PH akan memaafkan bekas ahli politik Umno lain yang mempunyai rekod jenayah.

“Anda tidak boleh abaikan kesalahan lampau seseorang dalam membuat kepututusan.”

Pandangannya sama dengan pemimpin DAP, termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Ramasamy berkata, buat masa ini, mereka yang menentang langkah bekas ahli Umno menyertai PH tidak akan mengecam PPBM secara terbuka.

Walaupun mengakui PPBM bertambah kuat dari segi keahliannya, beliau memberi amaran mengenai masalah yang bakal timbul di masa depan.

“Walaupun tiada permusuhan secara langsung ketika ini, tetapi masa depan tidak pasti.”