Umno Kelantan desak penyatuan politik dengan PAS disegera

Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob berkata, hasrat itu sudah dinyatakan kepada presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi melalui satu memorandum sebelum ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Umno Kelantan berharap hubungan dengan PAS dapat direalisasikan dengan membentuk satu hubungan lebih kukuh, bukan sahaja persefahaman dalam kerjasama tertentu.

Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, hasrat berkenaan sudah dinyatakan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui satu memorandum yang disampaikan sebelum ini.

“Umno Kelantan adalah antara yang terawal membuat ketetapan bukan sahaja menyokong, malah mendesak agar penyatuan politik dilaksanakan.

“Kita memohon agar satu pakatan hendaklah disegerakan. Sekarang keadaan bangsa dan agama cukup terancam dan amat penting wujudnya penyatuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama Media di sini, malam tadi.

Jelasnya, apa yang perlu dilakukan lagi adalah perundingan lanjut dan sesuatu perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Mengulas mengenai penghijrahan beberapa pimpinan Umno Kelantan, termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ke PPBM, Ahmad Jazlan menegaskan tindakan itu tidak akan melemahkan Umno Kelantan.