Seorang warga emas berusia 80 tahun yang menghabiskan masa mudanya bekerja sebagai buruh, menceriakan acara amal yang dianjurkan oleh sebuah hotel 5 bintang di rumah orang-orang tua Rumah Charis di Balik Pulau di Pulau Pinang dengan menunjukkan bakat nyanyiannya semasa sesi karaoke.

Steven Wong Pay Fatt yang masih bujang tidak berfikir panjang apabila penganjur menjemput mana-mana penghuni rumah itu yang ingin menyanyi, lalu terus ke biliknya mengambil sekeping cakera padat dan meminta penganjur sama ada mereka boleh memainkan lagunya.

Menjadi penghuni rumah orang-orang tua sejak berusia 70 tahun, Steven dilihat melawan usianya untuk menyanyikan beberapa lagu Cina yang lama bagi menggembirakan penghuni dan pelawat rumah itu.

Mengakui nyanyian merupakan hobinya, pekerjaan lama beliau sebagai buruh juga membentuk beliau meminati kecergasan dan kini beliau sering bersenam walaupun sudah lanjut usia.

“Saya tidak kerap menyanyi di hadapan penonton sepanjang 9 tahun saya tinggal di sini (rumah orang-orang tua), tetapi apabila saya melakukannya, ia membawa saya ke masa lampau,” katanya ketika ditemui selepas sesi karaoke itu yang diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti anjuran Lexis Suite Pulau Pinang untuk membawa keceriaan kepada 25 warga emas di rumah itu.

Rumah warga emas itu menempatkan mereka yang berusia antara 63 dan 92 tahun.

Beliau yang bekerja di Kuala Lumpur dan bersara pada umur 70 tahun, mengambil keputusan untuk tinggal di rumah orang tua di sana sehingga memutuskan untuk berpindah ke cawangan baharu rumah itu di Pulau Betong untuk berada lebih dekat dengan saudara-mara.

“Walaupun begitu, saya tidak pernah berpeluang menghadiri mana-mana majlis makan malam keluarga bersama mereka (saudara-mara) semasa Tahun Baharu Cina,” katanya yang tetap gembira berada di rumah itu walaupun ‘ditakdirkan seorang diri selamanya’ sebagai orang bujang.

Lexis Suite Pulau Pinang menganjurkan majlis amal itu sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya dan Pengurus Besarnya, Ben Ho turut menyampaikan angpau, makanan dan barangan keperluan rumah kepada penduduk di rumah orang-orang tua itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]