Wujudkan ‘lemon law’ untuk bantu pembeli, CAP gesa kerajaan

President CAP, SM Mohamed Idris (kanan) dan pegawai penyelidik Ravinder Singh di sidang media hari ini (Gambar CAP)

GEORGE TOWN: Kerajaan digesa memperkenalkan undang-undang yang dilabel sebagai “lemon law” untuk melindungi pengguna daripada produk yang rosak, terutama kereta yang tidak memenuhi standard dan prestasi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris berkata, dengan adanya undang-undang tersebut, pembeli boleh menuntut supaya kenderaan mereka yang rosak diperbaiki atau diganti.

Katanya, negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura telah mewujudkan undang-undang ini di mana pembeli boleh tuntut harga lebih rendah atau meminta pulangan penuh harga kenderaan.

“Lemon law” adalah undang-undang yang mengukuhkan Akta Perlindungan Pengguna. Pelaksanaannya membolehkan pengguna seolah-olah memegang “limau” (yang senang dilihat tapi tajam dan masam rasanya) dalam usaha mendapat ganti rugi.

“Adalah munasabah kereta yang rosak teruk dibaiki dalam tempoh maksimum sebulan dan 3 percubaan adalah munasabah untuk pusat khidmat baiki kerosakan sama sebelum ‘lemon law’ digunakan.

“Pengilang hendaklah dipertanggungjawabkan kerana produk mereka yang rosak dan membaiki kenderaan secara memuaskan seperti dikehendaki undang-undang.

“Bilangan kereta baru yang rosak yang rakyat Malaysia tidak tahu apa yang perlu dilakukan di bawah undang-undang membimbangkan.

“Oleh itu, kita mendesak kerajaan melaksanakannya secepat mungkin,” Idris memberitahu pemberita hari ini.

Undang-undang yang dicadangkan itu meliputi kereta terpakai.

Beliau meminta kerajaan mewajibkan semua pembuat kereta penjual kereta terpakai memperkenalkan senarai semak laporan penilaian kenderaan.

Senarai semak itu termasuk bentuk visual, keadaan fungsi peralatan dn pemeriksaan ujian jalan oleh penjual dan pembeli bagi menjamin ketelusan.

Ramai pembeli kereta berhadapan dengan kesulitan, menyebabkan mereka tanpa kenderaan dan terpaksa menunggu berjam-jam di pusat baik pulih untuk mendapat tahu apa yang rosak pada kereta mereka.

Katanya, keadaan begini selalu berlaku dengan kerja pembaikan secara “trial and error” di mana penjual membaiki satu bahagian yang kemudian didapati tidak mempunyai masalah.

“Pusat servis mengambil masa masa hinggalah tarikh tamat tempoh dan selepas itu pemilik kereta terpaksa bayar untuk kerosakan yang sama,” katanya.

Ada yang membuat pemeriksaan salah dan menyalahkan pemilik (seperti lambat hantar untuk servis) untuk menolak tuntutan kerosakan besar.

“Ada kes kenderaan tersadai di bengkel berbulan-bulan, hingga 6 bulan atau lebih, tetapi (pihak bengkel) masih tidak dapat menyatakan apa kerosakannya,” katanya.

Pusat servis kereta juga ada yang enggan mengakui kerosakan tidak boleh dibaiki dan oleh itu mereka tidak perlu memulangkan wang atau menggantikan kereta seperti dikehendaki di bawah Akta Perlindungan Pengguna.

Idris berkata undang-undang yang dicadangkan itu mesti mengambil kira berapa kali sesebuah kereta baru menjalani pembaikan sebelum pembeli layak fail kes ke tribunal pengguna.

Katanya, CAP menerima aduan sejak beberapa tahun lalu tentang kerosakan kereta dan surat dihantar kepada penjual kereta dan agensi kerajaan berkaitan, tetapi mereka hanya menerima penafian dan jawapan mengelak.

Beliau mengingatkan pihak berkaitan, kereta yang rosak bukan sahaja satu menyusah dan merugikan pengguna, tetapi juga bahaya kepada pengguna jalan raya.

Katanya, Malaysia boleh merujuk kepadai Singapura di mana tuntutan di bawah undang-undang yang dicadangkan itu boleh dibuat untuk produk yang rosak dalam tempoh 6 bulan.