Zaman Najib pun ada Majlis Tindakan Ekonomi, kata Rafidah

Bekas menteri, Rafizah Aziz berkata, penubuhan EAC tidak ada kena mengena dengan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu ekonomi.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz mempersoalkan sikap dwistandard segelintir pihak yang cuba memperbesarkan isu penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, EAC bukan sahaja ditubuhkan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara sebagai perdana menteri ke-4, tetapi juga ditubuhkan pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi tidak ada kena-mengena dengan kegagalan kerajaan menyelesaikan isu ekonomi. Kalau perkara itu betul, kenapa zaman Pak Lah dengan Najib dahulu tidak dikaitkan dengan isu yang sama?

“Kerajaan terdahulu pun saya terlibat dengan Majlis Tindakan Ekonomi, tapi tidak ada pula sesiapa mempersoalkannya ketika itu,” katanya ketika menghadiri majlis pemberian derma kepada pesakit kanser anjuran Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), hari ini.

Rafidah juga berasa hairan ada sesetengah pihak persoalkan penyertaannya dalam EAC.

“Salahkah kalau saya terlibat? Adakah kerana saya sudah tua dan harus ditolak ke tepi?

“Selagi saya masih boleh menyumbang saya akan menyumbang,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis EAC yang akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan rakyat.

Matlamat utama majlis yang dipengerusikan Dr Mahathir itu ialah untuk merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan lebih saksama serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.