3 maut dihempap tiang, kerangka bumbung rumah kedai

Tiang dan kerangka bumbung sebuah rumah kedai dalam pembinaan runtuh selepas dilanggar sebuah kren, petang tadi.

GEORGE TOWN: Tiga maut, manakala 3 lagi cedera apabila tiang dan kerangka bumbung sebuah rumah kedai yang dalam pembinaan di Juru, Bukit Mertajam, runtuh selepas dilanggar sebuah kren hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian 4.52 petang itu, pemandu kren terlanggar struktur tiang rumah kedai Lorong Perusahaan Maju 8 menyebabkan kerangka bumbung yang dalam pembinaan runtuh.

Katanya, pemandu kren itu, Kumar Patchumuthu, 46, dari Simpang Ampat, bersama pelarian Rohingya, Rofi Khan, 32, maut di tempat kejadian, manakala Amir Udin Abol Kasim, 20, seorang lagi pelarian refugee meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 30 pekerja berada di tapak pembinaan itu ketika tiang dan kerangka bumbung sebuah rumah kedai di Juru, runtuh.

Nik Ros berkata, seorang lagi lelaki Rohingya yang usianya tidak diketahui bersama seorang lelaki Indonesia berusia 30 tahun yang parah, sedang dirawat di hospital sama.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 30 pekerja berada di tapak pembinaan itu ketika kejadian berlaku.

Seorang saksi berkata, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri kerana tiang dan kerangka itu runtuh dalam sekelip mata.