Badan kehakiman lapor polis dakwaan dalam afidavit hakim

PUTRAJAYA: Badan kehakiman membuat laporan polis berhubung dakwaan terhadap hakim yang tidak dinamakan dan institusi itu dalam afidavit oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan, badan kehakiman itu mengambil berat tuduhan serius dalam afidavit yang disahkan semalam, dalam saman pemula.

Peguam, Sangeet Kaur Deo memfailkan saman pemula berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan kes Akta Hasutan bapanya, mendiang Karpal Singh dan kes penukaran agama 3 kanak-kanak beragama Hindu.

“Prosiding itu ditangguhkan mahkamah, kami tidak berhasrat membalas kandungan dakwaan berkenaan, kecuali untuk mengatakan tuduhan dalam afidavit terhadap badan kehakiman itu tidak berasas dan kesannya boleh mencemarkan imej badan kehakiman secara keseluruhan.”

Menurut kenyataan itu, dakwaan tersebut juga akan menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap institusi itu terjejas dan seterusnya memberi kesan buruk terhadap fungsi pentadbiran keadilan yang sepatutnya.

Menurut kenyataan itu lagi, agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan sedang meneliti dakwaan itu.

Sama ada suruhanjaya siasatan perlu diwujudkan, katanya, ia bergantung kepada keputusan kerajaan.

Kenyataan itu juga menyatakan badan kehakiman sentiasa menyedari pentingnya memelihara keyakinan orang awam terhadap institusi itu.

“Ia adalah tumpuan berterusan badan kehakiman untuk menjaga integritinya dan memastikan pentadbiran keadilan berfungsi dengan betul.

“Dalam hal ini, badan kehakiman sedang melaksanakan penambahbaikan substantif dan pembaharuan dalam pentadbiran keadilan dan akan terus melakukannya.

“Selain itu, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi telah menemui badan kehakiman dan membuat saranan, yang sedang dilaksanakan juga.”

Afidavit setebal 63 muka surat itu mendedahkan maklumat terperinci pelbagai insiden campur tangan dalam badan kehakiman, termasuk dakwaan campur tangan badan kehakiman dalam keputusan rayuan kes Akta Hasutan Karpal di Mahkamah Rayuan.