Bekas pengurus Goldman mahu kembali ke AS hadapi pertuduhan jenayah

KUALA LUMPUR: Roger Ng, bekas pengurus bank Goldman Sachs Group Inc yang didakwa memainkan peranan dalam penipuan dana pelaburan kerajaan, 1MDB, akan kembali ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan jenayah terhadapnya, kata peguam beliau.

Ng akan mengetepikan perintah ekstradisi ke AS apabila beliau tampil di mahkamah hari ini, menurut peguamnya Marc Agnifilo. Ng merancang untuk mengaku tidak bersalah ketika hadir di mahkamah persekutuan AS, tambahnya.

Ng, yang meninggalkan Goldman Sachs pada musim bunga 2014 ditahan di Kuala Lumpur sejak 1 Nov lepas, sejurus selepas Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memaklumkan pertuduhan terhadap beliau kerana mengubah yang dicuri daripada 1MDB.

Seorang lagi pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan Low Taek Jho juga didakwa di AS berhubung kecurian beberapa bilion dolar wang daripada 1MDB.

“Seperti yang kami katakan sebelum ini, kami berang kerana terdapat kakitangan firma ini yang mengambil tindakan seperti diperincikan dalam pertuduhan kerajaan,” kata jurucakap Goldman Sachs ketika ditanya mengenai Ng.

Goldman Sachs juga disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan DoJ atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon yang mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB.