Kampung Tambatuon di Kota Belud menjadi kampung pertama di Sabah mengeluarkan produk beras wangi keladi yang ditanam secara organik.

Beras wangi keladi dari kampung terletak kira-kira 112km dari bandar Kota Belud sudah dijual secara komersial di pasaran dengan harga RM10 untuk 500 gram dengan bungkusan yang menarik.

Penanaman padi secara organik di kampung itu membabitkan 22 petani di tanah seluas 1.2 hektar dan menghasilkan 8 tan beras wangi keladi yang dituai sekali dalam setahun.

Francis Mali, seorang daripada petani padi secara organik di kampung itu berkata dia bersama 4 lagi petani di kampung memulakan tanam padi secara organik bermula pada 2014 selepas mereka didedahkan dengan tanaman padi secara organik oleh Pertubuhan Perkongsian Komuniti (Pacos Trust).

Menurutnya, mereka berminat menanam padi secara organik tanpa menggunakan baja kimia untuk menggalakkan penduduk di kampung itu mengamalkan makanan sihat.

“Semasa kami mula menceburi tanaman padi secara organik ini, penduduk kampung tidak yakin dengan cara tanaman ini tetapi tahun ke tahun, petani yang berminat semakin bertambah kepada 22 orang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di bawah program Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud banyak membantu penanaman padi secara organik di kampung itu.

Katanya IADA memberi bimbingan dan infrastruktur sawah padi serta pembungkusan hingga promosi pemasaran.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pertanian IADA Kota Belud Fredrick Jamari berkata penanaman padi secara organik di Kampung Tambatuon merupakan antara program pembangunan jelapang padi yang dilaksanakan di daerah itu di bawah kementerian.

Katanya ia sejajar dengan usaha kementerian itu membangunkan kawasan jelapang padi bagi meningkatkan hasil beras di negeri ini.

IADA memberi bantuan dari segi perkhidmatan pengembangan, bimbingan dan infrastruktur membabitkan sawah, perparitan, jalan dan sistem pengairan, katanya.

Menurutnya tanaman padi secara organik di Kampung Tambatuon menjadi projek perintis sebelum diperluaskan ke beberapa kampung di Kota Belud iaitu Kampung Kelawat, Taginambur dan Tamu Darat.

Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (Mygap) untuk produk beras wangi keladi yang dihasilkan menerusi tanaman secara organik ini.

Fredrick berkata tanaman padi secara organik mempunyai potensi yang luas yang selari dengan usaha kerajaan menggalakkan rakyat negara ini mengamalkan pemakanan sihat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]