Fokus semula ekonomi atau terima padah, ahli ekonomi ingatkan Sabah

Sabah perlu beralih daripada ekonomi berasaskan ekstrak sumber kepada ekonomi pembuatan dan pertanian berskala besar. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Seorang ahli ekonomi mengingatkan bahawa Sabah perlu mengubah fokus daripada sebuah ekonomi berasaskan ekstrak sumber kepada ekonomi pembuatan dan berasaskan pertanian yang lebih mapan atau menerima padahnya pada masa depan.

Bercakap kepada FMT, pensyarah Universiti Teknologi Mara, Firdausi Suffian berkata, Sabah sudah sedia menderitai masalah kekurangan peluang pekerjaan, pendapatan rendah dan kos hidup tinggi.

“Pengangguran belia kita kini mencecah 15% dan peluag pekerjaan tidak mencukupi. Kita mempunyai terlalu ramai belia kurang-pendidikan yang terpaksa bersaing dengan pendatang asing bagi mendapatkan pekerjaan bergaji baik yang terhad.

“Kita terlalu bergantung pada industri perkhidmatan seperti pelancongan yang sebenarnya tidak begitu memberi manfaat kepada penduduk tempatan seperti yang kita harapkan.

“Sekarang pun, ramai belia kita berpindah ke negara lain bagi mencari pekerjaan sebagai tenaga kerja murah dengan bekerja di kilang pembuatan,” katanya.

Firdausi Suffian.

Dilaporkan tahun lepas, lebih 150,000 rakyat Sabah kini bekerja di Semenanjung sahaja.

Ramai yang lain berhijrah ke negara lain, termasuk Australia dan New Zealand, untuk bekerja di ladang buah-buahan kerana kerja yang sama di Sabah dibayar gaji lebih rendah daripada di negara lain.

Firdausi berkata, pada masa ini, kerajaan Sabah hanya meneruskan kaedah menjana pendapatan pentadbiran sebelum ini melalui ekstrak sumber, seperti eksport kayu balak dan minyak serta gas.

Masalahnya, kata beliau, ialah apabila sumber itu habis atau harganya jatuh seperti yang berlaku sekarang ke atas minyak serta gas dan minyak kelapa sawit. Kerajaan tidak mempunyai jaring keselamatan untuk mempertahankan pendapatannya serta menampung perbelanjaaan yang meningkat.

Beliau berkata, walaupun perlu ada kesabaran sehingga kerajaan Sabah boleh berdikari, tetapi usaha memfokus semula ekonomi negeri itu tidak harus mengambil masa terlalu lama.

Katanya, masalah pertama Sabah ialah ketiadaan industri pembuatan ringan dan pertanian berskala besar yang boleh menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan besar-besaran yang sangat diperlukan.

“Sebagai sebuah negara berasaskan pertanian, kita boleh menjadi periuk nasi agi Kalimantan dan negara lain dalam rantau BIMP-EAGA dengan 70 juta penduduknya,” kata beliau.

Industri lain termasuklah industri pembuatan perabot atau kilang produk akhir seperti sabun, minyak masak dan kosmetik bagi sumber minyak sawit Sabah yang kaya.

Bagi mencapai tujuan itu, beliau mencadangkan Sabah mencontohi jirannya Sarawak yang berjaya mentransformasi ekonomi negeri tersebut melalui industri pembuatan.

Ini termasuklah pemberian tanah percuma dan pengecualian cukai kepada industri pembuatan, menyediakan infrastruktur bertaraf dunia, termasuk bekalan tenaga dan air yang mencukupi dan tidak terganggu, selain menjamin perkaitan baik bagi import dan eksportnya.

Firdausi berkata, ini perlu dilakukan segera kerana pada kadar sekarang, Sabah akan menjadi pengeksport pembantu rumah dan tenaga kerja murah pada dekad akan datang berikutan lebih ramai belianya terpaksa keluar mencari kerja bergaji murah di tempat lain.

“Malah, keadaan ini sudah pun berlaku sekarang, tetapi ia akan menjadi lebih buruk. Sudah sampai waktunya untuk mengubah keadaan itu,” katanya.