Hajiji jadi ketua PPBM Sabah?

Bekas ketua Umno Sabah, Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Bekas ketua Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka dilantik sebagai pengerusi sementara PPBM Sabah.

Sumber memberitahu FMT hari ini, Hajiji patut diberi jawatan itu kerana beliau ialah pemimpin yang mengetuai sekumpulan pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti terbabit pada 12 Disember lalu.

Ia menyaksikan 9 daripada 10 Adun, 5 daripada 6 ahli Parlimen dan 2 senator keluar Umno.

Bekas ketua menteri dan Adun Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih bersama Umno.

Bung Moktar kemudiannya dilantik sebagai ketua Umno Sabah.

Seorang daripada 9 Adun yang meninggalkan Umno, Datuk Musbah Jamli (Tempasuk) menyertai Warisan.

Yang lain menjadi wakil rakyat bebas, sebelum memohon menyertai PPBM beberapa minggu lalu.

Lapan Adun itu adalah Hajiji (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Japlin Akim (Usukan).

Lima ahli Parlimen yang dilaporkan memohon menyertai PPBM adalah bekas timbalan menteri, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang) yang merupakan anak Musa.

Difahamkan, wakil rakyat bebas itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat pada 23 Februari ini. Mereka menunggu kepulangan Hajiji daripada menunaikan umrah.

Kumpulan itu dijangka membawa lebih 100,000 penyokong Umno Sabah menyertai PPBM.