Indonesia mahu cadang had eksport getah dalam mesyuarat 3 pengeluar

Harga getah dunia tertekan selama beberapa tahun ini berikutan pengeluaran dunia yang tinggi dan permintaan dari China yang perlahan. (Gambar Bernama)

JAKARTA: Indonesia akan mencadangkan pelaksanaan Skim Tan Eksport yang Dipersetujui (AETS)dalam satu mesyuarat 3 pengeluar utama getah, seorang pegawai kanan Kementerian Perdagangan memberitahu pemberita, Jumaat.

Majlis Getah 3 Pihak Antarabangsa (ITRC), yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia dan Thailand akan bermesyuarat di Bangkok pada 21-22 Februari depan bagi membincangkan cara meningkatkan harga getah asli.

Imam Pambagyo, pegawai kanan di Kementerian Perdagangan Indonesia, memberitahu pemberita bahawa pelaksanaan AETS dan peluasan pengunaan getah dalam sektor pembinaan merupakan 2 cadangan utama yang akan dibawa negara itu ke mesyuarat peringkat menteri tersebut.

Pada akhir 2017, ITRC bersetuju mengurangkan eksport getah kepada 350,000 tan selama 3 bulan sehingga Mac tahun lepas – kali ke-5 kumpulan itu melancarkan skim pengehadan eksport.

Harga getah dunia tertekan selama beberapa tahun ini berikutan pengeluaran dunia yang tinggi dan permintaan dari China yang perlahan, walaupun Indonesia menyalahkan spekulator atas harganya yang tidak menentu.

Indonesia, pengeluar getah asli kedua terbesar dunia itu juga berkata, ia akan melancarkan program jalan raya getah tahun ini bagi meningkatkan permintaan tempatan.