Johor gagal lindung hutan bakau, Putrajaya perlu campur tangan, kata persatuan peguam

Hutan simpan bakau Sungai Pulai di gelang Patah, Johor.

PETALING JAYA: Lawyers for Liberty (LFL) menggesa Putrajaya menggunakan kuasanya untuk menghentikan kemusnahan kawasan bakau di Johor memandangkan kerajaan negeri gagal memulihara khazanah alam sekitar.

Ia berkata, bukti kegagalan itu dapat dilihat dalam 2 kes sebelum ini, termasuk kehilangan kawasan bakau Sungai Pulai yang bertaraf antarabangsa.

“Jelas kerajaan Johor tidak mampu atau tidak bersedia melindungi kawasan tersebut. Walaupun jika keputusan dibuat pada masa pentadbiran Barisan Nasional (BN), mengapa kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) berdiam diri tentang perkara tersebut?,” soal jurucakap LFL, N Surendran.

Minggu lepas, FMT melaporkan sebuah padang golf dan projek hotel mungkin dilaksanakan di sebahagian kawasan hutan simpan bakau Sungai Pulai yang popular di Gelang Patah.

Pencinta alam sekitar mendakwa, projek yang dibuka kepada umum hujung tahun lalu itu yang dilaporkan menelan belanja RM2 bilion telah menceroboh kawasan disenaraikan oleh Ramsar, satu konvensyen dunia mengenai perlindungan tanah basah.

Pendedahan itu dibuat hanya 2 bulan selepas kontroversi Pulau Kukup, satu lagi kawasan dalam senarai Ramsar, di persisiran pantai Pontian, yang status taman negaranya dilapor dibatalkan pada Oktober lalu.

Ini disusuli dengan Sultan Johor mengisytiharkan Pulau Kukup sebagai taman negara walaupun ia kekal sebagai tanah kesultanan. Tindakan yang turut dipersoalkan oleh LFL.

Surendran berkata, kerajaan Johor mesti memberi penjelasan bagaimana hutan simpan kekal itu boleh “dimusnahkan secara senyap-senyap” untuk tujuan pembangunan.

“Tidak boleh ada alasan untuk mengganggu kawasan bakau bertaraf dunia untuk membina padang gof.

“Memandangkan ia melibatkan khazanah negara, siasatan menyeluruh perlu dijalankan untuk mengetahui bagaimana ia berlaku, siapa terlibat dan siapa untung,” katanya.

Beliau mahu Putrajaya membentangkan satu kertas putih mengenai keadaan kawasan simpan balak di seluruh negara.

Sumber memberitahu FMT sebelum ini, peta Sungai Pulai menunjukkan sebahagian tanahnya telah dinyahwartakan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut.

Perbandingan antara Sungai Pulai dalam laman web Taman Negara Johor dengan Goodle Earth yang terakhir dikemaskini pada 2 Oktober, 2018 menunjukan padang golf dan hotel itu terletak dalam tapak Ramsar.

Pemaju resort golf tersebut masih belum memberi respons kepada pertanyaan FMT.