Kemboja bebaskan 47 rakyat Malaysia ditahan di penjara

Semua 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket ejen pekerjaan itu ditahan sejak 11 Disember lalu.

KUALA LUMPUR: Semua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey dibebaskan lewat petang ini, selepas beberapa rundingan antara kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen selepas mendapati semua tahanan terbabit ditipu sindiket ejen pekerjaan.

“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, kita sudah melihat dan meneliti semua perkara yang tahanan dari Malaysia terdaya oleh sindiket ejen pekerjaan.

“Kita juga melihat dari segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mustapha berkata, selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.

Sebelum ini, ibu seorangtahanan itu, Zunita Sedini dilaporkan berkata, anaknya Yusuf Islam bersama 46 rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga AS$1,500 (lebih RM6,000) namun semuanya hanya sandiwara kerana setibanya di Kemboja, mereka tidak mendapat pekerjaan dijanjikan.