Kes buli pelajar di Besut dalam siasatan polis, kata JPN Terengganu

Video berdurasi satu minit 26 saat tular di Facebook semalam memaparkan seorang murid lelaki dipukul sekurang-kurangnya 3 murid lain (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: Kes dipercayai buli pelajar yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Besut hingga tular di media sosial kini dalam siasatan polis, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Beliau berkata, ibu mangsa membuat laporan polis sebaik sahaja mengetahui kejadian tersebut dan pelajar itu juga diberi kaunseling oleh pihak sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah Besut bagi meminimumkan kesan negatif emosi mangsa.

“Mangsa yang merupakan pelajar darjah 6 (dipercayai) dibuli oleh rakan sekelasnya sendiri pada Selasa lalu.
Bagaimanapun punca sebenar kejadian itu kita serah sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Jabatan amat berharap agar semua sekolah di seluruh Terengganu dapat memantau kegiatan murid, terutama pada waktu sesi rehat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Video berdurasi satu minit 26 saat itu mula tular di Facebook sejak tengah hari semalam yang memaparkan seorang murid lelaki dipukul sekurang-kurangnya 3 murid lelaki dipercayai dirakam seorang murid lain.