Lelaki didenda RM5,000 ugut badan pengurusan guna petrol

Presiden JMB Pangsapuri Desa Mentari diugut dengan simbahan petrol ke atas lantai pejabat pengurusan.

PETALING JAYA: Seorang pekerja kebajikan dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau 5 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kegentaran dengan menyimbah petrol ke atas lantai pejabat pengurusan sebuah pangsapuri, Sabtu lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap T Sreedharan, 37, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan menyimbah cecair itu bertujuan untuk mengugut dan mendatangkan ketakutan ke atas presiden Joint Management Body (JMB) Pangsapuri Desa Mentari, K Arulmani, 57.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JMB Blok 1, Desa Mentari, Sg Way, pada 1.05 tengah hari, 9 Feb lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira faktor perbuatannya mendatangkan kegusaran kepada semua penduduk di kawasan pangsapuri itu.

Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan dia hanya ingin menolong untuk membersihkan pejabat itu dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Di mahkamah berasingan, seorang wanita pemandu perkhidmatan e-hailing Grab dijatuhi hukuman denda RM4,500 atau 4 bulan penjara atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM30,000 yang bukan miliknya, pada Januari 2018.

Majistret Salamiah Salleh, menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Hui Voon, 34, selepas dia mengaku bersalah dengan curangnya menolong menyembunyikan wang milik Yee Kuan Weng, 59, yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Chong, di mana tertuduh tahu wang itu bukanlah miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Plaza South City, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, pada 26 Jan 2018 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kerugian yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Iqbal Nawi merayu hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya yang merupakan penanggung utama keluarga baru sahaja bercerai selain menjaga 3 anak serta ibunya.