Mahkamah benarkan bekas pengurus Goldman hadapi tuduhan 1MDB di AS

Peguam Roger Ng di Malaysia, Tan Hock Chuan meminta Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan dalam masa 30 hari.

KUALA LUMPUR: Sebuah mahkamah hari ini membenarkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group yang ditahan dalam skandal penipuan 1MDB, Roger Ng, pulang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi pertuduhan jenayah di negara itu.

Ng ditahan di Kuala Lumpur sejak 1 November lalu, sejurus selepas Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mengumumkan dakwaan terhadapnya atas dakwaan pengubahan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB. Dia meninggalkan Goldman Sachs pada 2014.

Hakim, Edwin Paramjothy Michael Muniandy ketika membuat keputusan itu dalam sebuah mahkamah di Kuala Lumpur hari ini berkata, Ng sudah bersetuju mengetepikan perintah ekstradisi dan akan dihantar ke AS sementara menunggu arahan Kementerian Dalam Negeri.

Peguam Ng, Datuk Tan Hock Chuan meminta arahan itu dikeluarkan dalam masa 30 hari. Ia perlu dikeluarkan dalam masa 3 bulan di bawah undang-undang Malaysia.

Tan berkata, Ng mencapai persetujuan dengan DoJ dari segi ikat jamin dan syarat lain.

“Responden berhasrat mempertahankan merit kes itu di mahkamah daerah timur New York di AS, kata Tan kepada mahkamah.

Peguam Ng di New York, Marc Agnifilo memberitahu Reuters, anak guamnya akan mengaku tidak bersalah, apabila dia muncul di sebuah Mahkamah Persekutuan AS.

Ng berdepan beberapa pertuduhan jenayah berasingan di Malaysia, tetapi tidak jelas jika kes itu akan menjejaskan pemindahannya ke AS. Jabatan Peguam Negara tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.

Seorang lagi pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner, dan pembiaya, Low Taek Jho turut didakwa di AS atas dakwaan mencuri berbilion dolar daripada 1MDB. Leissner mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ditanya mengenai NG, jurucakap Goldman Sachs berkata: “Seperti apa yang kami katakan selama ini, kami marah dengan mana-mana pekerja firma ini yang mengambil tindakan seperti diperincikan dalam pertuduhan kerajaan.”

Goldman Sachs disiasat pihak berkuasa Malaysia dan DoJ atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion untuk 1MDB.