Menteri: India tamat keistimewaan dagang, pastikan Pakistan terpinggir

Jaesh-e-Mohammad yang berpangkalan di Pakistan mendakwa bertanggungjawab ke atas satu bom kereta yang membunuh 44 anggota polis India. (Gambar Facebook)

NEW DELHI: India akan mengambil semua langkah diplomatik bagi memastikan “peminggiran penuh” Pakistan susulan serangan kumpulan militan Islam, Jaish-e-Mohammad (JeM) yang mengorbankan 44 anggota polis separuh-tentera di Kashmir, Khamis, kata Menteri Kewangan India, Arun Jaitley, Jumaat.

Ini termasuk menarik balik keistimewaan negara paling diutamakan di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), katanya.

JeM yang berpangkalan di Pakistan mendakwa bertanggungjawab ke atas satu bom kereta yang membunuh anggota polis terbabit dalam serangan paling buruk di wilayah Kashmir yang dikuasai India.