Pegawai ketua hakim: Siasatan dalaman campur tangan kehakiman digantung

KUALA LUMPUR: Siasatan dalaman terhadap dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes rayuan mendiang Karpal Singh digantung, berikutan siasatan polis yang sedang dijalankan mengenai kes itu.

Pegawai khas Ketua Hakim Negara, Mohd Aizuddin Zolkeply berkata, siasatan dalaman itu juga digantung selepas mengambil kira rayuan belum selesai di Mahkamah Persekutuan atas permintaan pemohon dalam kes rayuan tersebut, sementara menunggu hasil siasatan polis.

“Siasatan dalaman ini hanya digantung dan bukan dihentikan bagi memastikan tidak timbul prejudis disebabkan siasatan polis, selain rayuan yang belum selesai,” katanya dalam afidavit balasan terhadap saman pemula yang dikongsikan dengan media hari ini.

Saman pemula itu difailkan anak perempuan Karpal yang juga peguam, Sangeet Kaur Deo berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dalam keputusan kes hasutan Karpal serta kes penukaran agama 3 kanak-kanak beragama Hindu.

Dokumen 7 muka surat yang disahkan Aizuddin, 37, itu difailkan pada 7 Februari lalu.

Sangeet mengemukakan saman terhadap ketua hakim negara pada 14 Januari lalu, memohon perintah deklarasi beliau gagal melindungi dan mempertahankan integriti kehakiman berhubung rayuan kes hasutan mendiang bapanya serta menamakan “ketua hakim Malaysia” tanpa meletakkan nama sebagai responden tunggal dalam saman itu.

Beliau memohon perintah deklarasi ketua hakim negara gagal menjalankan tugasnya untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti kehakiman, apabila beliau gagal menyelesaikan siasatan 2 dakwaan serius berhubung campur tangan kehakiman dalam sistem kehakiman negara berkaitan keputusan rayuan kes hasutan bapanya dan kes M Indira Gandhi.

Sangeet juga mendakwa berlaku campur tangan kehakiman dalam kes Indira Gandhi, apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau ditegur hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza 2 tahun lalu dalam kes penukaran agama sebelah pihak 3 anak Indira.

Dalam afidavit balasnya, Aizuddin berkata, penemuan muktamad dakwaan itu tidak dapat dibuat disebabkan kenyataan yang pelbagai semasa inkuiri dalaman.

“Selain itu, ‘hakim atasan’ yang dimaksudkan juga sudah bersara, justeru tiada tindakan dapat diambil menurut Kod Etika Hakim 2009 yang dibaca bersama Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010.”

Aizuddin berkata, tidak ada jawatan ketua hakim Malaysia menurut undang-undang negara.

“Justeru, saman pemohon tidak tepat dan harus ditolak dengan kos,” katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 25 Februari ini untuk pengurusan saman pemula itu.