Pelabuhan Klang jadi tapak pembuangan sampah antarabangsa?

Kepulan asap daripada timbunan sisa plastik di kilang kitar semula haram di Pelabuhan Klang, Selangor.

PELABUHAN KLANG: Kecewa dengan tangkapan yang tidak seberapa hari ini, seorang nelayan, Azza Azizan mencari-cari logam sekerap dari tapak kitar semula sisa plastik haram berdekatan.

Hasil tangkapan ikan Aziz dan nelayan lain di sepanjang Sungai Chandong susut sejak setahun lalu. Katanya, ikan semakin sukar didapati setiap hari.

Mereka menyalahkan kilang-kilang kitar semula plastik ala kadar yang bercambah di kawasan berdekatan.

Menurut mereka, pengusaha membuang sisa cairan plastik dalam cara yang paling mudah, iaitu dengan menyalurkan ke sungai.

“Bila air surut kamu boleh nampak dan bau cecair hitam yang meleleh ke sungai,” katanya kepada FMT.

“Kami dah banyak kali mengadu pada Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa lain tapi tiada siapa melakukan apa-apa untuk menghentikannya.”

Masa depan nelayan Sungai Chandong nampak malap selagi kilang-kilang ala kadar itu dibenarkan beroperasi dan mencemar sungai tanpa dihalang.

Aktivis alam sekitar, Tan See Han berkata kebanyakan kilang haram masih beroperasi walaupun selepas Putrajaya menjalankan pemeriksaan mengejut.

Aktivis alam sekitar Tan See Han membawa FMT ke tapak kitar semula plastik haram di satu kawasan perindustrian terbiar di Sungai Chandong. Kawasan itu penuh dengan timbunan kantung-kantung plastik yang sarat.

Tan berkata dalam kantung-kantung itu sisa plastik yang diimport dari negara-negara maju.

“Kantung-kantung ini dikosongkan dan sisa plastik dibasuh dengan klorin untuk buang sisa makanan,” katanya. “Klorin itu masuk ke sungai.”

Lambakan cip komputer plastik yang dikecaikan sebelum proses kitar semula.

Tan menganggarkan kira-kira 30% daripada plastik itu tak boleh dikitar semula. “Pengusaha membakarnya dan buang sisa yang bertoksik ke dalam sungai.”

Beliau menggesa pihak berkuasa tempatan periksa tahap pencemaran plastik di sungai itu kerana ikan yang ditangkap mungkin tak lagi selamat untuk dimakan.

Pemberita dan jurukamera FMT yang melawat tapak itu turut berasa loya dengan bau plastik terbakar yang menusuk hidung yang merebak di kawasan itu.

Tan berkata kebanyakan kilang-kilang haram didirikan di kawasan perindustrian terbiar, bersebelahan hutan, atau melalui jalan-jalan tanah yang sukar dilalui.

Bau sisa plastik yang dibakar boleh dihidu sejauh 200 meter.

Pemilik kilang membayar pekerja haram kira-kira RM45 sehari untuk mengasingkan, membasuh dan membakar plastik-plastik. Kesihatan mereka juga dalam bahaya.

Pada Januari, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menjalankan pemeriksaan mengejut di Pelabuhan Klang.

Hasilnya, kata beliau, tindakan diambil terhadap 64 kilang-kilang kitar semula plastik haram di Selangor, dan 39 kes dibawa ke mahkamah.

Ketika itu dia berjanji kerajaan akan memburu pengusaha-pengusaha haram yang lain.

Tan memeriksa asal beg plastik di sebuah kilang pemprosesan plastik haram di Pelabuhan Klang.

Tan berkata kerajaan patut mengarahkan kastam menghalang kantung-kantung sampah meninggalkan pelabuhan.

“Itulah punca masalahnya. Kita patut ada pengkuatkuasaan yang ketat di situ,” katanya. “Pemeriksaan berterusan oleh pihak berkuasa tempatan akan bantu selesaikan masalah.”

Beliau menjelaskan lebih banyak kilang-kilang haram akan muncul walaupun selepas Yeo menjalankan pemeriksaan.

Negara alternatif semakin diperlukan sejak China melarang hampir semua pengimportan sisa plastik ditengah-tengah kebimbangan terhadap pengeluaran daripada pemprosesan yang menjejaskan alam sekitar.

Kontena mengandungi beg-beg plastik dari pelbagai negara dibawa masuk ke Pelabuhan Klang, yang semakin berubah menjadi tempat pembuangan sampah antarabangsa selepas China mengharamkan pengimportan sisa plastik.

Banyak peniaga sekerap antarabangsa kini menghalakan kargo ke pengitar semula kecil-kecilan di Malaysia, terutama di pekan-pekan berdekatan pelabuhan, kata Tan.

Melupuskan plastik sangat menguntungkan kerana kos operasi yang rendah. Tan mendakwa pengusaha dengan mudah meraih sekurang-kurangnya RM6,000 bagi setiap tan sisa plastik yang diimport.

“Di Malaysia, kita masih belum kitar semula dengan betul, tapi kita biarkan desa-desa dan sungai-sungai kita jadi tempat pembuangan sampah yang penuh dengan plastik dari negara-negara kaya,” katanya.

Kami ternampak lebih banyak pengusaha haram di Pelabuhan Klang.

Tapak pembuangan sampah untuk sisa-sisa plastik dari negara-negara maju memenuhi 3 hingga 4 padang bola sepak di Sungai Chandong, Pelabuhan Klang.

Berdekatan simpang Jalan Perajurit 2 dan Lorong Ikan Bawal, sebuah “pusat kitar semula” seluas 4 padang bola sepak dipenuhi timbunan sisa-sisa plastik dan beroperasi tanpa rasa takut.

Tan berkata tapak itu haram dan pihak berkuasa minta pengusahanya hentikan operasi tapi mereka abaikan semua permintaan rasmi.

Beliau membuat laporan polis selepas menerima ancaman daripada beberapa pengusaha-pengusaha haram kerana sentiasa memeriksa mereka.

Tan tak berbangga dengan keberaniannya melindungi alam sekitar dan berdepan pencatut-pencatut yang tak peduli dan ancaman-ancaman mereka.

Dia lebih menghargai air bersih daripada keselamatan diri sendiri.

“Hanya satu niat saya iaitu hentikan perbuatan mereka mencemar air dan udara.”

Para nelayan Sungai Chandong berharap Tan berjaya.