Penumpang feri Pulau Pinang terjatuh ke laut

Penumpang yang belum dikenal pasti identitinya itu dilaporkan terjatuh kira-kira 1.5 km ke barat laut terminal feri Butterworth kira-kira pukul 9.20 pagi tadi (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Seorang penumpang dipercayai terjatuh ke dalam laut dari sebuah feri penumpang yang belayar dari sini ke Butterworth pagi ini dan usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Maklumat yang diperolehi dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menyatakan penumpang yang belum dikenal pasti identitinya itu dilaporkan terjatuh kira-kira 1.5 km ke barat laut Terminal Feri Butterworth kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Difahamkan 4 buah bot milik Maritim, pasukan polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pelabuhan Pulau Pinang berada di lokasi kejadian sejak pukul 9.50 pagi untuk mencari mangsa.

Sehingga pukul 2.30 petang ini, operasi mencari dan menyelamat ini masih belum berjaya menemukan mangsa.