Perda saman bekas pengerusi, ahli lembaga atas jualan tanah murah

Haniff Khatri Abdulla (kanan) berkata, 2 saman difailkan secara berasingan pada 13 dan 14 Februari lalu atas dakwaan penipuan, penyalahgunaan kuasa serta ‘kecuaian melampau’.

BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menyaman bekas pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya bersama bekas ahli lembaga dan pihak yang membeli 2 tanah didakwa dijual di bawah harga pasaran.

Pengerusi Perda, Haniff Khatri Abdulla berkata, 2 saman difailkan secara berasingan di Mahkamah Tinggi George Town pada 13 dan 14 Februari lalu atas dakwaan penipuan, penyalahgunaan kuasa serta “kecuaian melampau”.

Katanya, 2 tanah itu terletak di Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal seluas 9.36 ekar yang bernilai RM17.7 juta dan Sungai Baong, Jawi berkeluasan 5.8 ekar dengan nilai RM1.9 juta.

Beliau berkata, pihaknya mahu mengambil balik tanah itu atau menuntut ganti rugi bersama faedah atas kerugian ditanggung agensi itu akibat jualan tanah murah terbabit.

Shabudin yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor sebelum ini berkata, tanah di Kampung Tok Keramat itu dijual pada harga RM.2 juta kerana dekat dengan sungai dan terdedah kepada risiko hakisan tanah.

Haniff berkata, selain 2 kes itu, terdapat 11 kes salah urus lain, kebanyakannya membabitkan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (PVI), sayap pengurusan hartanah Perda.

Satu daripada kes itu membabitkan pembelian 30.3 ekar tanah di Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu, Teluk Kumbar, di bahagian pulau.

Haniff berkata, PVI mencapai persetujuan dengan pihak ke-3 pada 2007 dan 2012 berhubung tanah Teluk Kumbar itu, tetapi tiada projek dijalankan.

Perda kemudiannya menggantung lembaga pengarah PVI atas kecuaian tugas dan disyaki wujud salah urus. Kini, sebuah lembaga sementara diketuai Haniff memantau operasi syarikat itu.

Katanya, PVI akan meneruskan operasinya seperti biasa dan penggantungan itu hanya membabitkan pengurusan atas.

Semua surat kuasa yang diberikan bekas pengerusi Perda kepada PVI dibatalkan serta-merta, khasnya arahan berkaitan pembangunan tanah.

Pembangunan hanya dibenarkan diteruskan bagi tanah yang sudah dibangunkan sebahagiannya. Bagaimanapun, Perda akan memastikan ia mendatangkan manfaat bagi jangka panjang.

Haniff berkata, masa diperlukan untuk memberi butiran 11 kes lain kerana ia berlaku lebih 5 tahun lalu.

Katanya, bekas pengerusi itu menjadikan Perda sebuah agensi menumpukan hartanah, sedangkan peranan utamanya untuk membantu membangunkan Pulau Pinang.