Polis: Tak puas hati punca kes buli di sekolah rendah Jertih

Pengarah pendidikan Terengganu berkata, mangsa buli menjalani sesi kaunseling di rumah bermula semalam.

BESUT: Perasaan tidak puas hati dipercayai punca kes buli berlaku di sebuah sekolah rendah di Jertih di sini yang rakaman videonya tersebar di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pergaduhan itu pada awalnya hanya melibatkan 2 murid darjah 6, namun salah seorang daripadanya bertindak mengajak rakan lain menyerang dan membuli.

“Pihak polis memanggil 8 individu, termasuk murid dan guru sekolah berkenaan untuk memberi keterangan berhubung kes buli ini. Selain itu, pihak polis turut merampas sebuah telefon pintar yang dipercayai digunakan bagi merakam kejadian itu untuk dianalisa.

“Telefon bimbit itu akan dihantar ke unit forensik di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti ketulenan video dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, semua pelajar terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata mangsa buli itu menjalani sesi kaunseling di rumahnya bermula semalam.

“Sesi kaunseling yang dijalankan kaunselor Jabatan Pendidikan Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Besut ini diharap dapat membantu memulihkan semula semangat mangsa supaya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dengan lebih positif.

“Murid yang membuli turut menjalani sesi kaunseling agar mereka tahu perkara yang mereka buat itu salah di sisi undang-undang dan manusiawi. Sepatutnya mereka bersekolah dalam suasana yang harmoni, tambahan pula mereka adalah rakan sekelas.”

Katanya, sesi kaunseling itu akan diteruskan sehingga mangsa menunjukkan perkembangan positif.

Video selama 1 minit 26 saat itu mula tular di Facebook sejak tengah hari semalam yang memaparkan seorang murid lelaki dipukul sekurang-kurangnya 3 murid lelaki, dipercayai dirakam seorang murid lain.