Polis tidak patut terima tajaan syarikat luar, kata bekas KPN

Bekas ketua polis negara Musa Hassan berkata, tajaan yang diterima adalah salah dari segi undang-undang kerana pihak yang menaja mempunyai kepentingan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tan Sri Musa Hassan hari ini berkata pihak polis seharusnya tidak lagi menerima tajaan daripada syarikat luar pada masa-masa akan datang.

Bekas ketua polis negara itu berkata sebagai respons terhadap insiden sebuah syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan lawatan kerja diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki baru-baru ini.

Musa berkata, sekiranya polis menerima tawaran tajaan seperti itu pada masa-masa akan datang, ia mesti menolaknya.

“Kalau diikutkan, tajaan yang diterima itu salah dari segi undang-undang kerana pihak yang menaja ini mempunyai kepentingan. Ia syarikat judi.

“(Bagaimanapun) lawatan sambil belajar itu diluluskan oleh pihak kerajaan apabila menteri dalam negeri meluluskan pegawai berkenaan menjalani lawatan sambil belajar tersebut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, syarikat perjudian, Da Ma Cai menaja rombongan lawatan kerja diketuai ketua polis negara ke Turki.

Lim berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Delegasi itu dilaporkan ke Turki untuk mempelajari teknik membanteras perjudian dalam talian.

Selain itu, Musa menambah, wujud kepentingan dalam isu ini kerana syarikat yang menaja lawatan berkenaan mempunyai kaitan dengan perjudian yang lesennya diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Manakala kawalan aktiviti judi pula dikuatkuasakan oleh pihak polis. Oleh itu adalah tidak wajar pihak polis menerima tajaan ini,” katanya.

Musa, yang merupakan ketua polis negara dari 2006 ke 2010 itu berkata, sebelum ini pasukan polis tidak pernah ditaja oleh syarikat luar awam bagi mengikuti kursus lawatan belajar.

“Dulu tak pernah jadi macam itu…dulu kerajaan tak benarkan syarikat swasta menaja pegawai polis untuk lawatan (belajar),” katanya.

Musa yang bersara sebagai ketua polis negara pada September 2010 menambah, masyarakat akan menganggap tajaan terbabit sebagai perbuatan rasuah.

Bagi mengelakkan tanggapan negatif seperti ini ditimbulkan pada masa akan datang, Musa berkata, setiap tajaan pihak swasta seharusnya diteliti dan mendapat kelulusan daripada kerajaan terlebih dahulu.

“Ini supaya jabatan dan pegawai kerajaan bebas daripada salah laku atau anggapan buruk oleh masyarakat” katanya.